Porsche perkenalkan 911 versi ‘asas’ selepas versi yang lebih berkuasa

304

Menarik juga cara Porsche kali ini. Dengan Porsche 911 generasi terkini 992, syarikat Jerman itu telah terlebih dahulu memperkenalkan varian 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S. Model ini baru sahaja membuat kemunculan rasminya di Malaysia beberapa minggu lepas.

Namun kini, barulah syarikat itu memperkenalkan varian asas Porsche 911 Carrera (tanpa huruf S di belakang) dan varian ini hadir dalam bentuk Coupe dan Cabriolet.

Ibarat Myvi SE diperkenalkan dahulu, barulah Myvi biasa.

Apa pun, Porsche 911 Carrera ‘asas’ ini tetap berkuasa. Enjin 3.0-liter boxer enam silinder menghasilkan 385hp berbanding 450hp pada Carrera S. Namun ini tetap 15hp lebih dari 911 Carrera sebelumnya.

Bahagian dalam adalah sama seperti Carrera S, dengan bahan berkualiti tinggi, paparan skrin 10.9-inci, sambungan alat peranti terkini dan bantuan pemanduan inovatif seperti Porsche Wet Mode.

Porsche 911 Carrera ini dapat dibezakan dari Carrera S melalui rim dan brek lebih kecil, serta penutup ekzos individu pada sistem ekzos.

Transmisi adalah sama dengan Carrera S, iaitu automatik PDK 8-kelajuan. Ini membolehkan 911 Carrera memecut 0-100km/j dalam 4.2 saat dan kelajuan maksimum pada 293km/j. Dengan Sport Chrono, pecutan sama diperoleh dalam 4.0 saat sahaja.

Komen anda mungkin membantu