Bila van pasar malam jadi super mewah, jadilah Toyota Majesty!

3650

Siapa yang tidak tahu dengan Toyota Hiace, van popular untuk hantar anak ke sekolah, kegunaan pasar malam dan kenderaan penghantaran barang. Jadi, bagaimana jika satu versi mewah dari Hiace dihasilkan? Maka jadilah Toyota Majesty, baru sahaja dilancarkan di Thailand. Ia ibarat Alphard yang kurang mahal.

Tetapi ia tidaklah begitu murah. Van CBU dari Jepun itu dijual pada 1.709 juta Baht (RM231,925) untuk Standard dan 1.899 juta Baht (RM257,801) untuk Premium. Terdapat juga versi paling atas iaitu Grande, pada 2.199 juta Baht (RM298,528).



Majesty juga dikenali sebagai Granvia di Australia, dan diasaskan dari Hiace atau Commuter yang baru dilancarkan awal tahun ini.

Majesty sebenarnya 320mm lebih panjang, 100mm lebih lebar dan 95mm lebih tinggi dari Alphard dan Vellfire. Ia juga lebih besar dari Hyundai Starex.

Di bawah hud depannya terletak sebuah enjin 2.8-liter empat-silinder turbodiesel yang sama seperti pada Hilux. Unit 1GD-FTV ini menjana 163hp dan 420Nm tork, dan dipadan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.

Tidak seperti van komersial Hiace yang menggunakan leaf spring di belakang, Majesty menggunakan topang MacPherson dengan bar anti-oleng.

Dengan gaya mewah, ia mendapat kelengkapan agak mewah juga seperti lampu depan LED dengan DRL LED, lampu belakang LED, cermin sisi berkuasa elektrik, pemegang pintu krom, dan dua pintu gelungsur elektrik.

Di dalam pula, ia mendapat panel meter Optitron dengan paparan pelbagai fungsi 4.2-inci, penghawa dingin auto dengan corong nano-e, lampu suasana kabin dan pelindung matahari untuk tingkap barisan kedua dan ketiga.

Unit infotainmennya dilengkapi skrin sesentuh 7-inci dengan Bluetooth, navigasi, 12 pembesar suara dan sistem telematik T-Connect.

Untuk tempat duduk, Majesty masih kenderaan empat baris tempat duduk, dengan 11 tempat duduk konfigurasi 3-2-2-4. Semuanya dibaluti kulit dan dilengkapi tali pinggang keledar individu.

Untuk keselamatan, Majesty dilengkapi ABS, EBD, Brake Assist, Vehicle Stability Control, LSD (limited slip differential) automatik, kawalan bantuan cerun dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Dan ia turut mendapat kelengkapan canggih seperti Toyota Safety Sense yang merangkumi Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam. Terdapat juga 9 beg udara termasuk di lutut pemandu.

Apa pendapat anda untuk Toyota Majesty ini, patutkan UMW Toyota Motor Sdn Bhd membawa masuk kenderaan pembawa orang ini?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here