Porsche Taycan ialah sebuah kereta Turbo tetapi tanpa turbo sebenar

2458

Porsche Taycan membuat kemunculan rasmi yang pertamanya di Niagara Falls, AS baru-baru ini. Ia merupakan kenderaan elektrik (EV) produksi sepenuhnya yang pertama dari Porsche, menjana 751hp (560kW) dan 1,094Nm tork untuk model Turbo S dalam mod Overboost.

Tetapi, sebenarnya ia tidak mempunyai turbo. Dan langsung tidak mempunyai enjin.



Porsche Taycan adalah versi realiti untuk prototaip Mission-E yang mula dipertonton pada 2015. Elemen rekaan unik padanya adalah lampu depan LED quad, gril minimal dan rekaan belakang yang mengambil lengkuk dari 911 terkini. Terdapat juga beberapa elemen rekaan dari 918.

Di dalam, Porsche Taycan menampilkan rekaan penuh dengan skrin moden dan tiada langsung penggunaan bahan kulit (pertama kali untuk Porsche). Paling impresif adalah skrin melengkung bersaiz 16.8-inci di depan stereng dan skrin 10.9-inci di tengah.

Apa di dalam hud Porsche Taycan ini? Jangan biarkan nama Turbo dan Turbo S mempermainkan anda, kerana ini kenderaan elektrik sepenuhnya.

Ia dikuasai dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu di gandar belakang). Kedua-dua varian menjana 616hp. Tetapi dengan Launch Control dan fungsi Overboost, Taycan Turbo menghasilkan 671hp (500kW) dan Turbo S menjana 751hp (560kW).

Kuasa ini disalurkan ke permukaan jalan melalui transmisi unik 2-kelajuan. Kelajuan pertama dikhaskan untuk pecutan manakala kelajuan kedua untuk penjimatan tenaga dan meluncur di kelajuan tinggi.

 

Taycan Turbo S mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 2.8 saat, manakala Taycan Turbo dalam 3.2 saat. Turbo S mempunyai jarak pemanduan sehingga 412km, dan Turbo sehingga 450km. Kelajuan maksima kedua-dua model ialah 260km/j.

Pemandu Taycan boleh memilih empat mod pemanduan iaitu Range, Normal, Sport dan Sport Plus. Mod Range memfokus kepada kecekapan dimana bila dipilih, ia mengehadkan kelajuan antara 90 hingga 140km/j.

Sistem pacuan semua-roda juga akan di-setup untuk menjadi paling cekap. Bergantung kepada situasi juga, Taycan boleh dipacu menggunakan gandar hadapan sahaja jika perlu.

Di bahagian casis, Porsche Taycan dilengkapi sistem casis berintegrasi, menggabungkan Porsche 4D Chassis Control, suspensi udara dengan teknologi three-chamber, Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Porsche Dynamic Chassis Control Sport (PDCC Sport).

Porsche Taycan juga merupakan kenderaan produksi pertama dengan sistem 800 volt, lebih tinggi berbanding 400 volt pada EV lain. Ini membolehkan bateri Taycan dicaj hingga ke jarak pemanduan 100km dalam 5 minit.

Masa mengecaj untuk ke tahap 80 peratus dicapai dalam 22.5 minit (dalam keadaan ideal) dan kuasa mengecaj maksimum ialah 270kW. Kapasiti Performanc Battery Plus ialah 93.4 kWh.

Porsche Taycan Turbo dijual pada harga bermula $150,900 (RM630,837) sebelum aksesori tambahan, dan Taycan Turbo S bermula pada $185,000 (RM773,393).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here