Fabio Quartararo akui laluan sukar di GP Australia

1696

Pelumba pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo akui laluan sukar dihadapinya pada Grand Prix (GP) Australia.

Mana tidaknya, Quartararo yang dinobatkan selaku pelumba muka baharu (rookie) terbaik 2019 itu mengalami dua kemalangan masing-masing pada Jumaat dan ketika hari perlumbaan hari ini yang menyaksikan dirinya tidak menamatkan perlumbaan selepas bertembung dengan Danilo Petrucci (Ducati Team).



Pelumba dari Perancis itu mengalami kemalangan seawal pusingan pertama bermula di Litar Phillip Island – litar yang menyediakan pelbagai cabaran buat pelumba terutamanya daripada sudut cuaca dan angin kuat sehingga menyaksikan sesi kelayakan MotoGP (sepatutnya Sabtu) terpaksa ditunda sebelum perlumbaan (hari ini) bermula.

“Pagi ini kami dapat melakukan sesuatu yang menakjubkan,” kata Quartararo yang menyambar petak kedua dalam sesi kelayakan berkenaan.

“Mengambil bahagian dalam sesi kelayakan pertama (Q1) yang pertama buat saya sebelum menyertai barisan depan perlumbaan. Itu satu permulaan yang bagus untuk hari itu.”

PETRONAS Yamaha SRT dijadual mengharungi perlumbaan laman sendiri di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini dan walaupun Fabio Quartararo akui laluan sukar yang diterimanya pada GP Australia, dia mahu segera pulih dalam usaha ‘menghadiahkan’ sesuatu kepada pasukannya.

“Sekarang, saya mahu mengambil peluang yang ada untuk berehat dan cuba secepat mungkin untuk pulih sebelum perlumbaan seterusnya di Sepang – tempat untuk saya memberikan penghargaan kepada litar itu dan juga PETRONAS dengan memberikan prestasi terbaik,” katanya.

Rakan sepasukan, Franco Morbidelli yang memulakan saingan daripada petak ke-11 menemui garisan penamat di tempat ke-11 dengan catatan keseluruhan 41 minit 07.874 saat namun dalam masa sama turut senada dengan Quartararo – mahu memberikan yang terbaik di GP Malaysia nanti.

“Kami perlu mengkaji kenapa kami kehilangan rentak itu hari ini apatah lagi pada seluruh minggu ini ia tampak memuaskan. Apa yang jelas, kami mahu kembali menjadi lebih pantas di Malaysia nanti,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here