BMW Malaysia perkenal dua model BMW M Performance

1586

BMW menyuntik semangat sukan permotoran mereka dengan memberikan edisi BMW M Performance untuk dua model mereka, iaitu BMW 330e Edisi M Performance dan BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance.

Kedua-dua model ini adalah eksklusif dengan hanya 300 unit akan dijual untuk setiap satu. Model-model Plug-in Hybrid (PHEV) ini ditingkatkan tahap ‘The Ultimate Driving Machine’ mereka dengan penambahan elemen-elemen M Performance.



BMW 330e Edisi M Performance.

BMW 3-Series hibrid dengan teknologi eDrive ini diberi penambahan kit aerodinamik M Performance yang sporti. Ini merangkumi skirt sisi, pemijak tepi, gril depan hitam berkilat dan pelitup cermin sisi M Performance Carbon yang ringan.

Ia turut dipasang dengan kit depan berwarna Matt Black, spoiler belakang dan peresap belakang di samping lampu belakang yang digelapkan.

Untuk bahagian dalam, terdapat pedal keluli tahan karat (stainless steel) dan tempat letak kaki M Performance. Balutan kulit Black Dakota menjadi satu-satunya pilihan untuk edisi ini.

BMW 330e Edisi M Performance ditawarkan dalam warna eksklusif Sunset Orange, Black Sapphire, Estoril Blue dan Alpine White.

Tiada perubahan/penambahan harga untuk Edisi M Performance. Jadi, harga jualannya masih kekal pada RM258,800.00 dengan pilihan ‘Easy Drive Programme’.

BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance.

Bagi BMW X5 xDrive40e, Edisi M Performance memberikannya komponen M Performance seperti skirt sisi, pemijak tepi, gril depan hitam berkilat serta pelitup cermin sisi M Performace Carbon.

SUV ini turut mendapat kit karbon, spoiler hitam berkilat dan peresap karbon di belakang. Di bahagian dalamannya, terdapat pedal diperbuat daripada keluli tahan karat.

Warna yang boleh didapati bagi X5 Edisi M Performance ini adalah Carbon Black, Mineral White dan Space Grey. Warna-warna ini digandingkan dengan kulit dalaman Black Dakota, tetapi warna Carbon Black diberi pilhan tambahan kulit Terra Dakota.

Harga jualan BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance ini juga tiada perubahan/penambahan berbanding varian biasa, iaitu pada RM390,800. Ia juga ditawarkan dengan pelan ‘Easy Drive Programme’.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here