Ferrari F8 Spider tiba di Malaysia – pencabar McLaren 720S Spider dan Lambo Huracan Spyder

2310

Naza Italia, pengimport dan pengedar Ferrari di Malaysia telah memperkenalkan F8 Spider, serentak dengan 812 GTS. Ketibaan kedua-dua model ini juga menandakan kemunculan sulung untuk rantau Asia Tenggara.

F8 Spider – seperti pada namanya – ialah versi convertible untuk F8 Tributo yang dilancarkan di Malaysia tahun lepas.



Dijual pada harga RM1,178,000 (tanpa cukai, duti, pilihan kustom dan insurans), F8 Spider ini menampilkan bumbung retractable hard top sama seperti 812 GTS, namum menggunakan enjin V8 twin-turbo dengan konfigurasi MR, iaitu enjin di belakang kabin.

Enjin V8 dengan sesaran 3.9-liter yang telah memenangi banyak anugerah itu mampu menjana 710hp dan 770Nm tork.

Dipadankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan, jentera mid-engined ini mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat, mencapai 200km/j dalam hanya 8.2 saat, dan mempunyai kelajuan maksima 340km/j.

Menurut Ferrari, F8 Spider kurang ekstrem berbanding 488 Pista Spider, tetapi lebih sporti dari 488 Spider sebelumnya.

Nadi kepada jentera open-top ini ialah enjin V8 twin-turbo yang telah memenangi anugerah Engine of the Year untuk empat tahun berturut-turut (2016, 2017, 2018, dan 2019) dan dipilih sebagai enjin terbaik untuk dua dekad.

Ciri unik enjin ini ialah kemampuannya menghantar kuasa dengan cepat tanpa sebarang turbo lag, di samping mengekalkan bunyinya yang istimewa dengan rev tinggi sehingga 8,000rpm. Ia juga lebih ringan berbanding pada 488 Pista.

Pengendalian pula berada di tahap terbaik dengan ciri aerodinamik yang inovatif dan diambil dari pengetahun Ferrari di litar lumba.

Bahagian depan F8 ini direka dengan S-Duct yang memberikan ciri aerodinamik mantap yang diambil dari teknologi F1.

Spoilernya juga direka semula, kini lebih besar dan “membalut” sekeliling lampu belakang dan memberikan imej rendah dan lebar.

Ruang kokpit F8 ini didatangkan dengan kemasan gentian karbon yang “membahagikan” bahagian atas dan bawah papan pemuka, memberikan gaya kemas. Bahagian ini juga menempatkan skrin sesentuh 7-inci untuk penumpang depan yang memaparkan maklumat ringkas seperti gear, rpm dan kelajuan.

Keunikan aspek aerodinamik F8 Spider berbanding 488 Spider ialah radiator depannya yang diposisikan ke belakang. Ia bukan sahaja mengecilkan bentuk badan, tetapi turut membantu menjana downforce.

Dengan kuasa menggunung dan pengendalian mantap, F8 Spider ini tetap memerlukan sistem dan perisian canggih untuk menjadikannya lebih mudah dipandu.

Ini termasuklah Ferari Dynamic Enhancer (FDE+), Adaptive Performance Launch, Ferrari Variable Torque Management dan Side Slip Control 6.1.

Ferrari menawarkan pakej penyelenggaraan percuma 7 tahun untuk semua model termasuk F8 Spider ini. Ia merangkumi penyelenggaraan berkala setiap 20,000km atau setahun sekali, dan pemeriksaan oleh staf yang dilatih khas oleh Ferrari di Maranello.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here