Hangat: Nissan tayang kereta sports Fairlady Z terbaharu dalam video teaser produk

2043

Ini satu berita hangat! Selain dari GT-R yang bertaraf super sports car, jarang ada perkembangan menarik dari segmen sports car lebih mampu milik dari Nissan.

Tapi kali ini selepas 12 tahun melancarkan 370Z, Nissan akhirnya mengumumkan ketibaan model penggantinya.



Seperti disiarkan dalam video di saluran Youtube rasmi syarikat Jepun itu, Nissan menayangkan barisan model-model yang bakal dilancarkan dan akhir sekali disertai oleh satu bentuk sports car Z. Ini ialah sebahagian dari perancangan Nissan untuk memperkenalkan 12 model baharu dalam 18 bulan akan datang.

Video itu bertajuk “Nissan Next: From A to Z”, jadi ia bermula dengan A untuk model Ariya dan diakhiri dengan nama kereta sports yang dinanti-nantikan itu.

Dari video itu, model-model lain yang dipaparkan adalah Armada, Frontier, Kicks, Murano, Navara, Note, Pathfinder, Qashqai, Rogue (X-Trail), dan Terra.

Ya, anda mesti tertanya-tanya kenapa tiada GT-R? Ini menunjukkan bahawa Nissan GT-R R36 tidak termasuk dalam perancangan masa terdekat ini. Mungkin bukan fokus Nissan buat masa ini.

Nissan 370Z Nismo. Imej: CarBuzz

Maklumat perincian mengenai pengganti 370Z itu masih belum didedahkan, tetapi jika menurut ura-ura yang kedengaran sebelum ini, ia akan dipanggil 400Z.

Tetapi ini bukan bermakna ia akan dipacu enjin 4.0-liter (kerana 370Z dipacu enjin 3.7-liter), sebaliknya, Fairlady Z ini akan mendapat enjin 3.0-liter V6 twin-turbo dari Infiniti Q60 Red Sport 400, yang akan menjana sekurang-kurangnya 400hp.

Yang pasti, ia akan kekal dengan konfigurasi pacuan roda-belakang dan menawarkan transmisi manual dan automatik.

Ura-ura juga mengatakan bahawa rekabentuk Z baharu ini akan membawa konsep retro, dan dari bayang pada video itu, memang ada aura 240Z. Kelihatan bumbungnya menurun ke belakang serta fender tayar yang menyerlah.

Nampak juga seperti ia mempunyai gril lebih besar, dan lampu LED lebih bulat, tidak seperti lampu berbentuk boomerang pada 370Z.

Ia juga tidak perlu lebih besar. Saiz boleh dikekalkan, dengan overhang depan dan belakang yang pendek, serta tetap dengan konfigurasi dua tempat duduk.

Kami jangkakan Nissan Z terbaharu ini akan menjadi pesaing terdekat kepada Toyota GR Supra. Ini pasti menarik.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here