Mercedes-AMG A45 S 4Matic+ kini di Malaysia, hot hatch dengan 416hp dan Drift Mode!

4970

Mercedes-AMG A45 S kini tiba di Malaysia, dilancarkan secara online oleh Mercedes-Benz Malaysia disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ia dilancarkan di laman Facebook dan saluran Youtube syarikat itu.

A45 generasi W177 terbaharu itu ditawarkan dalam versi A45 S Edition 1, dan boleh menjadi milik anda pada RM459,888.



Enjin kecil yang berkuasa

Nadi kepada Mercedes-AMG A45 S ini ialah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo terbaharu, iaitu unit M139 yang menggantikan enjin M133 pada A45 W176.

Pada model A45 “biasa”, enjin ini menggunakan boost 1.9 bar untuk menjana 382hp dan 480Nm tork. Tetapi untuk model A45 S 4Matic+, boost ditingkatkan kepada 2.1 bar untuk memerah 416hp dan 500Nm tork! Bayangkan, hanya dari enjin 2.0-liter 4-silinder ya tuan-tuan.

Kuasa tinggi ini dapat dicapai dengan pengecas turbo dan manifold ekzos yang diposisikan di belakang enjin. Sistem kemasukan pula kini berada di depan, memendekkan jarak dengan enjin.

Selain itu, enjin ini dibina dengan aluminium, aci engkol dari besi diperkukuh, omboh dari aluminium, penyuntik yang ditukar posisi dan injap ekzos lebih besar.

Enjin M139 ini juga menggunakan suntikan terus bahan api di rpm rendah untuk penjimatan. Apabila kuasa diperlukan, peringkat kedua (port injection) akan diaktifkan menggunakan injap solenoid dengan kemasukan minyak yang dikawal secara elektronik.

Dengan kuasa sebegitu banyak dari enjin kecil, penyejukan pastinya satu perkara kritikal. Enjin ini menggunakan pam air elektrik, dan pada model S, terdapat radiator kedua berdekatan gerbang roda untuk menyokong radiator utama.

Prestasi

Mercedes-AMG A45 S ini mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.9 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas dari A45 biasa.

Kelajuan maksima pula ialah 270km/j untuk A45 S, manakala model A45 biasa memerlukan AMG Driver Package untuk mencapai kelajuan maksima sama. Jika tidak, kelajuannya dihadkan kepada 250km/j “sahaja”.

Menurut Mercedes, enjin M139 ini merupakan enjin turbo 4-silinder paling berkuasa di dunia untuk model produksi. Oh ya, enjin ini masih menggunakan prinsip “satu orang, satu enjin” untuk pemasangannya.

Transmisi

Enjin A45 dipadankan dengan transmisi dwi-klac 8-kelajuan yang dinamakan AMG Speedshift DCT 8G.

Kuasa pula disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan 4Matic+ dengan AMG Torque Control yang terletak di pembeda belakang. AMG Torque Control menggunakan klac khas yang membolehkan kuasa diagihkan antara tayar depan dan belakang serta kiri dan kanan.

Khas untuk A45 S ialah fungsi Drift Mode, yang hadir dari AMG Dynamic Plus Package. Apabila mod Race diaktifkan, anda boleh melakukan drift yang menarik dan terkawal.

Casis

Untuk menampung kuasa yang banyak dari enjin itu tadi, badan hot hatch ini diperkukuhkan untuk meningkatkan keteguhannya. Terdapat juga bar pengukuh di topang suspensi depan kiri dan kanan, serta beberapa plat tambahan di tiang-A.

Brek terdiri dari cakera 350mm 4-piston di depan, dan 330mm 1-piston di belakang. Jika anda memilih pakej AMG Dynamic Plus, brek depan yang anda dapat bersaiz 360mm dengan 6-piston. Brek ini boleh dikenalpasti dengan angkupnya yang berwarna merah dan tulisan AMG berwarna hitam.

Ciri lain adalah AMG Ride Control, AMG Dynamic Select (dengan mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race), serta AMG Dynamics (dengan mod Basic, Advanced, Pro dan Master).

Gaya garang

Anda pasti dapat mengenalpasti A45 S ini dari jauh dengan gayanya yang sporti dan agresif. Ini terdiri daripada gril Panamericana, fender lebih lebar, diffuser, empat ekzos bulat, dan rim 19-inci.

Tak cukup garang? Tambah sahaja dengan pakej AMG Aerodynamic, dan anda akan mendapat splitter dan canard depan, diffuser lebih ganas, spoiler, semuanya berwarna hitam berkilat.

Kokpit sporti

Di dalam pula, anda dapat rekaan kabin biasa A-Class dengan Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Tetapi ia didatangkan dengan paparan AMG – Classic, Sport dan Supersport.

Ciri khas AMG yang lain termasuklah kemasan kulit Artico dan Dinamica, roda stereng AMG Performance, dan AMG Track Pace untuk telemetri pemanduan di litar.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here