Ferrari Roma tiba di Malaysia, pesaing Mercedes-AMG GT dan Aston Vantage, harga tak sampai RM1 juta!

2860

Selepas baru sahaja melancarkan F8 Spider dan 812 GTS baru-baru ini, Naza Italia telah membawakan Ferrari Roma untuk pasaran Malaysia.

 



Roma ialah sebuah jentera V8 enjin depan dengan 620hp yang dijuruterakan untuk menyaingi model-model GT seperti Mercedes-AMG GT dan Aston Martin Vantage.

Menurut Ferrari, Roma dinamakan mengikut ibunegara Itali, yang menjadi lokasi pelancarannya. Ia menampilkan konfigurasi coupe 2+, rekaan timeless dan “prestasi tiada tandingan”. 

Dapat dilihat pada Roma ini ia dilengkapi gril depan menyerlah dengan bonet depan panjang, garisan tajam di atas gerbang roda, cermin belakang curam, lampu depan nipis dan ekzos quad.

Ferrari Roma dipacu oleh enjin 3.9-liter V8 turbo dari Portofino tetapi telah ditala untuk memberikan 620hp dan 760Nm tork.

Transmisi pula ialah unit DCT dwi-klac yang diperkenalkan pada SF90 Stradale. Ferrari berkata pecutan 0-100km/j dapat dibuat dalam 3.4 saat, dan 200km/j pula dapat dicapai dalam masa 9.3 saat sahaja.

Kelajuan maksima Ferrari Roma dikatakan “lebih dari 320km/j”.

Roma juga mempunyai berat kering (tanpa minyak dan bendalir) cuma sekitar 1,472kg dengan pilihan “lightweight”, iaitu 80kg lebih ringan dari Portofino. Roma lebih pendek dari Portofino walaupun mempunyai jarak roda yang sama iaitu 2,670mm.

Selain dari spoiler belakang aktif, Roma juga menampilkan perisian terkini Side Slip Control dari Ferrari. Terdapat lima mod pemanduan, dan fungsi Ferrari Dynamic Enhancer yang boleh mengawal sudut gelinciran (drift terkawal) kereta dengan kawalan brek.

Di dalam, kereta ini menampilkan dua “sel” berasingan untuk pemandu dan penumpang, dengan dua tempat duduk kecil di belakang. Pemandu dan penumpang depan dipisahkan dengan pembahagi tengah, yang mungkin menjadi konsep kokpit untuk model-model Ferrari akan datang. Rekaan stereng juga baharu sepenuhnya.

Meter rev analog tradisional telah diganti dengan skrin melengkung 16-inci di depan roda stereng, bersama dengan skrin tengah 8.4-inci menegak. Terdapat juga skrin sesentuh berasingan untuk penumpang.

Ferrari Roma ini dijual sedikit murah dari Ferrari sebelum ini, iaitu di bawah RM1 juta. Hanya RM968,000 sebelum duti, pilihan kustom, cukai dan insurans.

Berminat? Ferrari Roma boleh dilihat dengan lebih dekat (dengan temujanji) sehingga 29 Jun ini di bilik pameran Ferrari Malaysia.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here