BMW R 18 First Edition di Malaysia, hanya 18 unit!

1594

Jika anda mahukan sebuah motosikal kruiser yang berkuasa dan eksklusif, ini mungkin jentera paling sesuai untuk anda.

BMW Motorrad akan membawakan R 18 baharu, hadir dalam versi First Edition dan terhad kepada 18 unit sahaja di Malaysia.



Kruiser mewah ini dikemaskan dengan gabungan warna hitam berkilat, dan diselangi dengan warna krom pada bar hendal, tuil penukar gear, pelitup hendal, pelitup enjin, dan komponen salur kemasukan udara.

Ciri luaran lain adalah lampu LED penuh di depan dan belakang, pelitup enjin dengan kemasan machined berkualiti dari aluminium, dan menampilkan kontras warna menarik antara hitam dan perak.

Nadi kepada BMW R 18 ini ialah enjin boxer dengan kapasiti terbesar pernah dibangunkan oleh BMW. Unit 1,802cc ini menjana tork maksima 158Nm pada 3,000rpm sahaja. Transmisi pula ialah 6-kelajuan dengan gear undur. Kelajuan maksima ialah sehingga 180km/j.

Untuk sistem suspensi, R 18 dibina dengan rangka keluli bersangga kembar berserta palang bawah yang disatukan dengan skru. Terdapat fork teleskopik klasik di depan, dan fork berayun dengan penyerap hentak tengah untuk belakang.

Selain dari Automatic Stability Control, anda boleh memilih tiga mod tunggangan kruiser ini iaitu, Rock, Roll dan Rain. Rock and Roll ke? Dah macam nama muzik, kami pun tak tahu. Tapi macam padan saja dengan jiwa kruiser ini kan?

Untuk anda yang mahukan lebih eksklusiviti pada R 18 ini, bolehlah menambah aksesori seperti aneka pilihan tempat duduk, bar hendal, pelitup injap, plat dada enjin, ruang muatan dan pelbagai aksesori kustom lain.

Berminat? Anda harus tunggu dulu, kerana BMW R 18 hanya boleh didapati bermula Oktober nanti. Tempahan boleh dibuat di sini: https://bmwmotorrad-r18.com/R18.

R 18 ditawarkan pada harga RM156,500 dan anda boleh memilih pelan pembiayaan dari BMW Group Financial Services Malaysia degan ansuran bulanan bermula RM1,969 sebulan.

Kruiser ini juga akan didatangkan dengan waranti 3 tahun serta program bantuan tepi jalan bertempoh 3 tahun.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here