Volkswagen Tiguan Allspace SUV 7-tempat duduk terkini dalam pasaran, varian R-Line dan Highline, harga dari RM164k

2942

Selain dari melancarkan Arteon R-Line, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut melancarkan Tiguan Allspace, sebuah SUV tujuh tempat duduk dan dijangka memberi impak besar dalam segmennya.

Allspace merupakan Tiguan versi jarak roda lebih panjang, dan hadir dalam dua varian, iaitu Highline 1.4TSI dan R-Line 2.0TSI. Kedua-dua model ini juga dipasang di kilang CKD VPCM di Pekan, Pahang.



Harga adalah seperti berikut:

Tiguan Allspace R-Line 2.0TSI – RM208,553
Tiguan Allspace Highline 1.4TSI – RM164,430

Pemilik akan menikmati penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Tiguan Allspace R-Line 2.0 TSI

Menampilkan gayaan sporti, Tiguan Allspace R-Line mendapat bampar hadapan dan belakang R-Line, garis pada panel sisi hadapan, ekzos berkembar serta spoiler belakang. Penampilan keseluruhannya disempurnakan lagi dengan rim aloi Sebring bersaiz 19”.

Pilihan warna adalah biru (Blue Silk), putih (Pure White), hitam (Deep Black), kelabu (Platinum Grey) dan putih (Pyrite Silver).

Tempat duduk hadapannya mendapat pelarasan elektrik 12-cara yang dibalut kulit Vienna. Ruang kabin itu turut dipasang dengan lencana R-Line pada tempat duduk, stereng, pedal sports aluminium tahan karat, plat pelindung aluminium pada bahagian hadapan dan belakang, kemasan dekoratif ‘Dark Grid’ serta kemasan bumbung berwarna hitam.

Paparan instrumen ialah unit Digital Cockpit bersama skrin Discover Pro 9.2-inci yang turut menyokong App Connect (Apple CarPlay, Android Auto dan Mirrorlink).

Di bawah hud Tiguan Allspace R ialah unit 2.0TSI yang dipadankan dengan DSG 7-kelajuan klac basah. Enjin ini menjana 220hp dan 350Nm tork, menjadikannya antara kenderaan paling berprestasi dalam segmennya.

 

Output enjin disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan 4MOTION, iaitu pacuan semua-roda yang sama pada Golf R.

 

Walaupun ianya sebuah SUV, Tiguan Allspace R-Line mendapat ciri pemanduan R iaitu Dynamic Chassis Control (DCC) dengan pelbagai kombinasi untuk disesuaikan dengan keadaan dan keinginan pemandu.

Tiguan Allspace Highline 1.4TSI

Volkswagen Tiguan Allspace Highline dilengkapi lampu utama dan lampu belakang LED penuh, rim Kingston 18” serta lampu kabus di hadapan dan belakang.

Pilihan warna adalah sama dengan Tiguan Allspace R-Line, iaitu biru (Blue Silk), putih (Pure White), hitam (Deep Black), kelabu (Platinum Grey) dan putih (Pyrite Silver).

Di dalam, Tiguan Allspace Highline diberikan tempat duduk balutan kulit Vienna, pendingin hawa 3-zon, dan roda stereng balutan kulit dengan paddle-shifters dan cruise control.

Untuk model ini, ia dikuasakan enjin 1.4TSI suntikan bahan api dengan transmisi DSG 6-kelajuan. Enjin ini cukup berupaya menghasilkan 15-hp dan 250Nm tork.

Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here