Keracunan karbon monoksida: Sudah tiba masa perkara ini diajar dalam kelas lesen memandu

2607

Semalam kita dikejutkan dengan berita kematian melibatkan mereka yang sedang tidur dalam kereta dengan enjin dan penghawa dingin dihidupkan.

Setakat artikel ini ditulis, tragedi itu telah meragut nyawa ketiga iaitu Nor Adilah Mohd Safwan yang meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Sementara itu kembarnya, Nor Aqilah kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.



Empat mangsa yang belajar di sebuah kolej kejururawatan dekat Batu Caves berhenti rehat sebelum ditemui tidak sedarkan diri akibat terhidu karbon monoksida.

Dua mangsa yang meninggal dunia lebih awal adalah Sharifah Fariesha yang ditemui maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Walaupun kejadian ini jarang berlaku, ia bukanlah kali pertama dan pastinya bukan kali terakhir.

Apa itu keracunan karbon monoksida dan bagaimana ia boleh membunuh?

Apabila enjin kenderaan dihidupkan dalam jangka masa panjang, kebocoran gas boleh berlaku dan masuk ke dalam kabin.

Ia tidak begitu ketara jika kenderaan sedang bergerak kerana aliran udara masuk dan keluar kenderaan lebih teratur.

Perkara ini menjadi masalah apabila kenderaan berhenti dalam tempoh yang lama seperti situasi mangsa yang sedang berehat dan tidur di kawasan R&R (rehat dan rawat).

Karbon monoksida tidak berbau dan tidak berwarna, jadi anda tidak akan sedar yang anda sedang menyedut gas itu.

Gas karbon monoksida akan mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke sel-sel dalam tubuh manusia, menyebabkan kerosakan organ.

Kepekatan gas ini yang tinggi dalam darah boleh membunuh.

Bagaimana cara mengelakkan kejadian ini?

Langkah pencegahan atau proaktif yang boleh anda lakukan ialah memastikan sistem pendingin hawa kenderaan diperiksa dan diselenggara secara berkala.

Anda boleh mengikut saranan pengeluar kenderaan atau pakar-pakar di pusat servis pendingin hawa.

Pendapat bahawa menurunkan sedikit cermin kenderaan untuk mengelakkan keracunan gas bukanlah tindakan yang tepat kerana anda masih boleh terdedah kepada bahaya ini.

Perkara terbaik ialah keluar dari kenderaan dan berehat di tempat khas dengan kitaran udara yang baik dan segar.

Dalam situasi tertentu seperti memandu berseorangan di waktu malam misalnya, pasti tidak sesuai untuk tidur di luar.

Anda boleh tidur dalam kenderaan dengan enjin dimatikan dan tingkap dibuka sedikit. Memadai untuk kitaran udara dan tidak terlalu besar hingga penjenayah boleh melakukan perkara tidak diingini kepada anda.

Jangan lupa kunci pintu pula!

Panas? Tidak mengapa, anda pasti akan terjaga sendiri nanti dan sudah mempunyai cukup tenaga untuk menyambung perjalanan.

Terapkan dalam pendidikan awal

Kami di Motoqar merasakan sudah tiba masanya perkara seperti ini dimasukkan dalam kurikulum kelas untuk lesen memandu.

Cadangan ini bukanlah dari penulis sendiri, tetapi dari komen-komen bernas netizen. Terima kasih.

Pemandu-pemandu baharu dan golongan muda patut diberi kesedaran mengenai perkara ini.

Dalam pada pihak berwajib mengemaskini kurikulum lesen memandu, mungkin boleh masukkan juga tips memandu yang lebih relevan dengan situasi pemanduan hari ini serta mengambil-kira kenderaan sekarang yang lebih moden.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here