Anda kini boleh sewa Toyota GR Yaris untuk lenjan di litar dengan Apex Nürburg!

2228

Apex Nürburg mengumumkan bahawa mereka telah menambah sebuah Toyota GR Yaris dalam rangkaian rental fleet atau barisan kereta sewa mereka.

Buat yang belum tahu, Apex Nürburg ialah sebuah syarikat yang menawarkan kereta-kereta sewa untuk dipandu di litar Nürburgring.



Mereka mempunyai barisan kereta yang ‘biasa-biasa’ seperti BMW 218i, Volkswagen Polo GTI dan Toyota GT86, hinggalah kereta berprestasi tinggi seperti BMW M2, BMW M4, dan Porsche 718 Cayman.

Toyota GR Yaris merupakan model terbaharu dalam penawaran mereka, jadi ini bermakna anda kini boleh lenjan jentera WRC jalanan ini di litar Green Hell itu.

Seperti kereta-kereta lain yang dinaiktaraf untuk dipandu di litar, GR Yaris ini juga telah dihantar untuk diberikan pelekat badan, pemeriksaan pada suspensi, brek, tayar, dan aspek-aspek lain untuk memastikan ia betul-betul sedia untuk disewa.

Baru sahaja mereka mengumumkan tentang GR Yaris, kereta ini terus laku keras, berebut orang hendak menyewanya. Slot tempahan GR Yaris ini penuh pada sesi track day pertamanya.

Toyota GR Yaris ini boleh disewa dengan harga 275 Euro (RM1,364) untuk dua pusingan. Mahal? Sebenarnya berbaloi.

Satu pusingan di Nürburgring mengambil masa 7 hingga 9 minit, itupun jika anda benar-benar laju. Dan bila lagi peluang hendak memandu GR Yaris dalam suasana sepatutnya, bukan?

Nak tunggu beli sendiri, ramai yang merungut mahal. Tak kurang juga dengan kluster “baik beli..”, dan takkan lah beli GR Yaris sekadar mahu drag race di lampu isyarat.

Toyota GR Yaris dijual pada harga RM299,000 di Malaysia dan datang dengan Performance Pack. Ini merangkumi suspensi lebih kukuh, LSD (limted-slip differential), rim aloi BBS diperkukuh dan tayar Michelin Pilot Sport 4S.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here