Perodua tingkat jumlah sasaran jualan, 240,000 unit untuk 2021

1588

Walaupun dengan pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia dan dunia pada masa ini, Perodua tetap optimistik.

Sumber: theedgemarkets

Pengeluar yang berpangkalan di Rawang itu menyasarkan untuk menjual 240,000 kenderaan pada 2021, kenaikan 9 peratus daripada 220,163 unit yang dijual pada tahun lepas.

Ini berikutan permintaan tinggi bagi model-modelnya serta lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.



Sebagai perbandingan, Perodua telah menjual 240,341 kenderaan pada 2019.

Jualan 220,163 unit pada 2020 terdiri daripada 66,330 Myvi, 59,651 Axia, 56,996 Bezza, 22,494 Aruz, 14,691 Alza dan satu model lain berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 529,434 unit, memberikan Perodua 41.6 peratus penguasaan pasaran.

“Dengan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga akhir-Jun 2021, perkembangan vaksin COVID-19 baru-baru ini dan permintaan berterusan bagi semua model kami, kami yakin 2021 akan menjadi tahun pemulihan buat kami,” kata Presiden dan CEO Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menambah bahawa Perodua dan ekosistem automotif Malaysia menghargai segala sokongan kepada industri dan akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan dalam memastikan semua prosedur operasi standard berkaitan COVID-19 dipatuhi.

Dato’ Zainal juga berkata bahawa dengan pemulihan jualan Perodua yang dijangkakan, pengeluar kenderaan kompak tersebut menjangkakan pembelian komponen tempatan sebanyak RM6.5 bilion tahun ini.

Sasaran pengeluaran Perodua 2021 mewakili peningkatan sebanyak 23 peratus daripada 220,968 unit yang dikeluarkan pada 2020, dan dengan kesemua modelnya mengandungi lebih 90 peratus komponen tempatan, Perodua kekal menjadi pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia.

Menurut Dato’ Zainal, Perodua juga menyasarkan peningkatan 20 peratus dalam pengambilan servisnya, daripada 2 juta unit pada 2020 kepada 2.4 juta unit pada 2021, terdiri daripada pelanggan semasa serta baharu.

“Dalam usaha kami untuk terus mendapatkan sokongan daripada para pelanggan kami, Perodua akan mengubah pendekatan kami dalam segala aspek, baik dalam perhubungan pelanggan, nilai-nilai kami mahupun operasi kami – terutama sekali di bahagian jualan kami, Perodua Sales Sdn Bhd,” kata Dato’ Zainal.

Beliau berkata pendekatan ini, yang dinamakan ‘Perodua Smart Build’, akan merevolusikan penawaran Perodua di samping meningkatkan lagi kemampuan operasi syarikat kereta kompak tersebut.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here