Porsche 911 GT3 2021 – Spoiler gedabak, enjin lebih berkuasa, pilihan transmisi manual!

1114

Selepas beberapa intipan, Porsche 911 GT3 2021 serba baharu akhirnya dilancarkan, kali ini dipertingkatkan serba-serbi pada semua aspek.

Dengan imej seperti jentera lumba dan membawakan teknologi dari perlumbaan, 911 GT3 in lebih berkuasa, lebih agresif, lebih canggih dan mempunyai catatan masa lebih pantas di litar Nurburgring.



Nadi kepada GT3 generasi ke-8 ini ialah enjin 4.0-liter flat-6 naturally-aspirated yang menjana 502hp dan 469Nm tork. Seperti biasa, enjin ini mampu di-rev sehingga 9,000rpm dan menampilkan independent throttle body.

Transmisi ialah dwi-klac 7-kelajuan PDK sebagai standard, tetapi dengar ini, anda boleh pilih GT3 dengan transmisi manual 6-kelajuan! Terima kasih, Porsche!

Dari segi prestasi, 911 GT3 ini mampu memecut ke 100km/j dalam 3.4 saat. Tetapi pecutan jalan lurus bukanlah penting untuk jentera yang memakai lencana GT3.

Apa yang penting ialah di litar. GT3 serba baharu ini mampu mencatat pusingan masa di Nurburgring kurang 7 minit, iaitu 6 minit 59.927 saat. Sebagai perbandingan, ini 17 saat lebih pantas dari model terdahulu.

Semua ini dapat dicapai bukan sahaja dari enjin yang lebih berkuasa, tetapi juga aerodinamik badan yang ditala hasil dari pengalaman Porsche dalam dunia perlumbaan. Lebih banyak downforce dapat dijana tanpa menambah nilai drag coefficient.

Di bahagian casis, Porsche 911 GT3 dilengkapi dengan suspensi double-wishbone di depan, berlainan dari topang MacPherson pada Carrera biasa.

Dari segi penampilan pula, GT3 baharu ini menampilkan rekaan muka depan dengan ruang kemasukan udara besar. Segala lip dan diffuser semuanya boleh dilaras mengikut keperluan di litar.

Perbezaan terbesar ialah spoiler belakang jenis leher angsa (swan neck) yang besar, sepasang ekzos di bahagian tengah bampar, dan diffuser di bahagian kiri kanan.

Kebanyakan panel badan seperti hud, spoiler dan sayap belakang semuanya dibuat dari campuran gentian karbon dan plastik untuk menjimatkan berat. Cermin juga dibina dari bahan ringan.

911 GT3 ini dipasangkan dengan rim 20-inci di depan, dan 21-inci di belakang. Rim ini lebih ringan dari GT3 sebelumnya, dan anda juga boleh memasang tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R yang lebih agresif dan mencengkam, tetapi tayar ini masih boleh dipandu di jalan raya.

Brek pula adalah 408mm di depan, iaitu 28mm lebih besar dari sebelum ini. Terdapat juga pilihan PCCB (Porsche Ceramic Composite Brake) bersaiz 410mm untuk prestasi brek lebih konsisten.

Bahagian dalaman GT3 juga dinaiktaraf. Ia kini mendapat butang mod pemanduan di stereng, dan tombol gearnya menggunakan seperti tombol manual walaupun kereta itu menggunakan transmisi PDK. Ini berlainan dari 911 Carrera biasa yang menggunakan tombol kecil.

Ciri baharu ialah paparan litar. Dengan satu sentuhan butang, ia akan mengalihkan maklumat-maklumat kurang penting ke kiri dan kanan, dan hanya memfokuskan paparan rev di tengah-tengah.

Dan hanya maklumat penting seperti tekanan tayar, tekanan minyak, suhu minyak, dan suhu air akan diketengahkan. Ia juga akan memaparkan panduan penukaran gear dalam bentuk bar berwarna untuk penukaran gear tepat, satu ciri dari jentera lumba.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here