Anda boleh dipenjara hingga enam bulan jika guna ekzos ‘bising’

2662

Pemilik kenderaan yang didapati bersalah mengubahsuai ekzos mereka sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dipenjara sehingga enam bulan.

Tambah Datuk Azisman Alias, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, mereka juga boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, jika disabitkan.



“Mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959), setiap ekzos (dengan penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan yang baik,” kata Azisman.

Ekzos

“Ia juga perlu dipastikan tidak diubahsuai sehingga menyebabkan bunyi bising. Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian sedemikian adalah melakukan satu kesalahan mengikut kaedah berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Beliau juga berkata, mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa untuk menyita motosikal (atau sebarang kenderaan) tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan daripada kesalahan berulang.

“Penggunaan ekzos bising ini menjadi trend semasa golongan muda kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan motosikal dan juga mencantikkan fizikal motosikal tersebut.

“Pihak JSPT sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan jabatan dan agensi yang lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Justeru, Azisman mengingatkan semua pemilik kenderaan bukan sahaja pemilik motosikal tetapi juga pemilik kenderaan bermotor yang lain agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang membabitkan pengubahsuaian.

“Sebarang pengubahsuaian yang ingin dilakukan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here