Jualan Perodua melonjak 29 peratus untuk suku pertama tahun ini, 4,345 Ativa diserah kepada pelanggan

1898

Perodua menganggarkan jualan sebanyak 57,911 unit kenderaan untuk suku pertama 2021 (1Q21). Ianya kenaikan 29 peratus berbanding 44,977 unit dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Seperti dijangka, kenaikan ini disumbang oleh peningkatan pengeluaran untuk memenuhi permintaan bagi semua modelnya, terutama sekali Perodua Ativa yang baru dilancarkan.



“Bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan kami kepada 24,433 unit, didorong permintaan yang tinggi, terutamanya bagi Ativa, yang telah menerima sebanyak 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19hb Februari lalu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Pendaftaran Perodua melonjak 47.3 peratus kepada 24,433 unit pada Mac 2021 berbanding 16,583 unit pada Februari 2021.

Dato’ Zainal menambah bahawa daripada 14,574 tempahan Ativa yang diperoleh setakat ini, 4,345 unit telah dihantar sejak pelancarannya pada 3hb Mac lalu.

Seperti yang dijangkakan juga, 67 peratus daripada permintaan setakat ini adalah untuk varian AV.

“Ini menjadikan Perodua Ativa SUV kompak terlaris di negara ini pada bulan Mac. Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama,” kata Dato’ Zainal.

“Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan kepercayaan mereka. Kami akan terus komited untuk memenuhi setiap pesanan tepat pada masanya,” tambahnya.

Dari segi pengeluaran, Dato’ Zainal berkata bahawa Perodua telah menghasilkan 60,383 kenderaan pada 1Q21 – kenaikan 23 peratus berbanding 1Q20.

Dato’ Zainal menambah bahawa walaupun berdepan dengan isu semikonduktor, Perodua masih mampu mencapai sasaran jualan 2021 sebanyak 240,000 unit.

Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan 9 peratus daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23 peratus daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20 peratus daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) bagi tahun ini.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here