Proton Satria R3 oleh DSR ini bukan restorasi biasa-biasa, lebih baik dari baharu!

4240

Apa yang anda bayangkan apabila terdengar/terbaca perkataan restorasi? Mengembalikan sesuatu kenderaan itu kepada asal/original?

Anda tidak salah. Tapi, ada yang membawa restorasi itu lebih jauh lagi dengan menjadikannya lebih baik dari asal, seperti 110 peratus baharu.



Inilah yang dilakukan oleh Suriya Sankaran dan anaknya, Dharveen Suriya dari DSR iaitu Dream Street Restoration.

Dengan DSR, Suriya menggunakan pengalamannya dalam dunia rali dan pengalaman semasa beliau di Proton R3 untuk merestorasi model-model casis C99.

Proton casis C99 terdiri dari model-model ikonik seperti Wira 1.8 EXi, Satria GTi, Satria R3 dan Putra. Kali ini, kami tampilkan projek restorasi terkini DSR iaitu Proton Satria R3 dengan plat DSR-002-C99.

DSR baru sahaja ditubuhkan sekitar tahun lepas dengan projek pertama mereka merupakan Satria GTi (DSR-001-C99).

Lima cabang restorasi

Dalam proses restorasi DSR, Suriya menggunakan lima cabang utama iaitu:

  1. Enjin dan transmisi
  2. Badan dan kosmetik
  3. Casis dan suspensi
  4. Bahagian dalaman (kabin)
  5. Pendawaian dan sistem enjin

Menurut Suriya, tidak semestinya semua kereta perlu melalui kelima-lima elemen restorasi di atas. Anda juga boleh membuat satu atau dua aspek sahaja mengikut keperluan atau ketebalan poket.

Proton Satria R3 DSR-002-C99

Unit Satria R3 hitam ini merupakan projek kedua DSR yang bermula pada Oktober 2020.

Suriya berkata dalam temubual bersama Motoqar, “Satria ini apabila dibeli oleh pemilik sekarang tiada lagi warna Tranquility Black ini, sebaliknya ia telah ditukar menjadi warna coklat metalik.”

Beberapa bahagian badan seperti bampar juga telah diubahsuai. “Jadi, pemilik meminta bantuan kita untuk mengembalikan kereta ini seperti keadaan asal sebagaimana ia dikeluarkan pada sekitar 2004-2005,” katanya.

Bahagian lain yang telah diubah sebelum ini juga termasuklah rim dan suspensi boleh-laras (adjustable).

“Tetapi kita bernasib baik kerana enjinnya masih dalam keadaan standard”, kata Suriya.

“Ini adalah salah satu enjin yang paling mudah untuk kami buat blueprint kerana kehausan kurang, dan tiada keledak karbon dari minyak.”

Walaubagaimanapun, unit Satria R3 ini tetap melalui restorasi untuk bahagian komponen badan seperti spoiler gentian karbon, kemudian pelekat badan, dan bahagian dalaman.

Pandu uji

Penulis, Amirul, cukup bertuah kerana diberi peluang memandu uji unit Proton Satria R3 DSR-002-C99 ini sebelum ia diserahkan kepada pemiliknya.

Dengan enjin yang telah melalui proses blueprint dan odometernya dikembalikan kepada 0km, ia satu penghargaan untuk merasai sendiri hasil kerja DSR memandangkan penulis tidak pernah memandu Satria R3 semasa ia baru dikeluarkan lebih 15 tahun dahulu.

Penulis masih bersekolah pada tahun 2004 dan sentiasa mengagumi jentera-jentera ikonik Proton seperti Satria GTi dan R3.

Ikuti temubual penuh dan pandu uji penulis dalam video di bawah:

Untuk maklumat lanjut mengenai DSR atau berhubung dengan Suriya, boleh lawati laman Facebook mereka di sini.

Nak sembang-sembang santai atau tanya pasal projek kereta anda pun boleh! Suriya ramah orangnya, dan tak kisah berkongsi ilmu mendalam beliau berkenaan kejuruteraan dan produk Proton.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here