Jualan Proton untuk Mei menurun, tetapi eksport meningkat

1335

Selepas mengalami jualan yang sangat baik selama dua bulan berturut-turut, di mana Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) secara puratanya melebihi 60,000 unit sebulan, industri automotif di Malaysia susut dengan kadar lebih kurang 20 peratus untuk Mei kerana isu-isu seperti kekurangan cip dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nasional.

Proton berjaya menjual 9,440 unit (domestik + eksport) bulan lepas, satu penyusutan sebanyak 37.1 peratus berbanding April, dan pegangan pasaran dianggarkan sebanyak 20.3 peratus.



Sehingga penghujung Mei, jumlah jualan yang telah direkodkan adalah 57,283 unit dengan pegangan pasaran sebanyak 23.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan ini merupakan peningkatan sebanyak 2.4 peratus.

Setelah mendahului pasaran secara keseluruhan pada bulan April, Proton Saga mengakhiri bulan Mei dengan jualan terbanyak bagi segmen-A apabila 3,786 unit diserahkan kepada pemilik.

Saga juga merupakan salah satu daripada empat model Proton yang mendahului kelasnya. Seperti bulan sebelumnya, Proton X50 dan X70 terus mendahului segmen masing-masing dengan margin yang besar.

SUV Proton X50 mencapai 1,899 unit pada bulan Mei manakala Proton X70 pula berjaya mencapai 1,523 unit. Secara keseluruhan, sebanyak 3,422 unit telah diserahkan kepada pemilik di Malaysia dan luar negara.

Proton Exora merupakan juara segmen yang keempat bagi syarikat itu, iaitu juara bagi kelas MPV segmen-C.

Pada masa yang sama, usaha jualan Proton di luar negara terus membina momentum meskipun pasaran antarabangsa mempunyai pelbagai langkah kawalan pergerakan.

Dengan 669 unit yang merangkumi Proton Saga, X50 dan X70 dieksport pada Mei, pencapaian ini juga merupakan bulan terbaik untuk bahagian jualan antarabangsa syarikat sejak Mac 2013.

Dengan itu, jumlah jualan pasaran eksport bagi 2021 setakat ini hanya kurang 100 unit sahaja berbanding jumlah jualan keseluruhan tahun lepas.

“Bagi Proton, jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan dan kami juga menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 98 bulan walaupun menghadapi cabaran dari rangkaian penghantaran antarabangsa,” kata Roslan Abdullah, CEO Proton Edar.

Dengan PKP secara menyeluruh bermula 1 Jun, jualan kenderaan akan tergendala untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu dan ada kemungkinan ia akan dilanjutkan untuk mengurangkan kadar jangkitan.

Berlainan dengan tahun sebelumnya, pusat servis dibenarkan beroperasi bagi pelanggan yang telah membuat janji temu telebih dahulu.

Proton juga akan mengambil kesempatan ini untuk mengkaji semula pelan jualan bagi bulan-bulan akan datang setelah industri menerima insentif PENJANA yang dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here