#Tips: 5 perkara perlu dijaga pada kereta masa PKP

2067

Kereta tidak bergerak, masih perlu servis? Belum sampai mileage (perbatuan), perlu servis atau boleh tunggu?

Dengan segala macam situasi lockdown dan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, kereta kita pasti jarang bergerak.



Ada di antara kita yang bekerja dari rumah, maka kereta mungkin hanya dipandu semasa membeli barang keperluan.

Tetapi ini tidak bermakna kereta kita tidak perlu dijaga atau diberi perhatian. Terdapat beberapa perkara yang perlu diperlihatkan agar kereta kita sentiasa dalam keadaan baik, terutamanya semasa kita memerlukannya.

Di sini kami kongsikan lima perkara yang perlu dijaga dan diberi perhatian semasa dalam tempoh PKP dan jarang bergerak.

1. Bateri sentiasa dalam keadaan baik

Yang pertama, pastikan bateri kereta kita dalam keadaan baik. Bateri memainkan peranan memberikan kuasa kepada starter motor untuk menghidupkan kereta kita.

Kereta tidak dihidupkan dalam tempoh terlalu lama akan menghabiskan kuasa bateri kerana ia tidak dicaj. Ini kerana walaupun enjin kereta kita tidak hidup, sistem-sistem elektronik dan elektrik dalam kereta seperti jam dan radio masih menggunakan kuasa bateri.

Apa yang boleh kita lakukan ialah hidupkan enjin kira-kira dua hari sekali dan biarkan enjin idle (melahu) kira-kira 10 minit sebelum mematikannya semula. Ini akan memberi peluang kepada alternator untuk mengecaj bateri, seterusnya memastikan kereta anda sentiasa mudah dihidupkan.

2. Tekanan angin tayar

Angin dalam tayar akan keluar perlahan-lahan, jika dibiarkan terlalu lama anda akan dapati tayar menjadi kempis.

Sebaiknya, periksa tekanan dan isi angin secara berkala, mungkin sebulan sekali. Tekanan betul dan mencukupi bukan sahaja memastikan tayar kereta anda tahan lama, malah memastikan pengendalian kereta anda sentiasa baik.

Imej: Carcility

Lagi satu perkara, elakkan kereta diparkir setempat terlalu lama. Jika tidak keluar mengisi angin, sekurang-kurangnya anda alihkan kereta beberapa meter agar tayar bergolek sedikit. Ini bagi memastikan tiada sebarang permukaan tayar menjadi rata atau leper, dan menjaga struktur keseluruhan tayar.

3. Badan kereta bersih

Imej: AutoGuide.com

Tidak kira sama ada kereta anda diparkir di ruang terbuka atau berbumbung, tetap perlu jaga keseluruhan badan kereta. Elakkan benda-benda seperti najis burung atau habuk dibiarkan pada badan kerana ia akan merosakkan cat kereta.

Sebaik sahaja anda nampak najis burung pada badan kereta, janganlah menyumpah makhluk Allah itu. Sebaliknya basuh sehingga hilang sambil beristighfar tahan sabar.

4. Aliran udara yang baik

Ya, disebabkan kereta tidak bergerak, anda harus pastikan aliran udara berada dalam keadaan baik. Mengapa?

Contohnya jika ada serangga mati pada laluan air-con (pendingin hawa) kita, sudah tentu bau kurang menyenangkan akan menusuk dalam kabin bila kita hidupkan enjin nanti.

Bau-bau lain juga boleh hadir dari lembapan udara sekeliling, atau ada binatang mati di bawah kereta atau bahagian enjin contohnya.

Jadi apa yang boleh kita lakukan ialah semasa hidupkan enjin sekali-sekala untuk menjaga bateri tadi, turunkan juga tingkap dan pasang pendingin hawa sebentar agar udara masuk dan keluar cukup.

5. Perlu servis berkala?

Baik, mungkin ini persoalan paling penting untuk topik ini. Sebenarnya, bergantung kepada beberapa keadaan.

Sekiranya kereta kita masih baharu dan ada jaminan (warranty), sebaiknya kita terus sahaja ikut jadual servis itu. Sebagai contoh, kereta anda perlu diservis setiap 10,000km atau enam bulan, yang mana dahulu, jadi jika sudah sampai tempoh walaupun perbatuan masih sedikit, hantar sahaja untuk servis.

Ini kerana penting untuk kita patuhi segala aturan dan jadual servis ini agar jaminan kereta itu tidak terganggu.

Untuk kereta yang lebih berusia dan tiada lagi jaminan pengeluar, anda sendiri pasti sudah cukup faham dengan kereta itu. Sentiasa periksa tahap minyak enjin agar sentiasa mencukupi, dan pastikan juga ia masih dalam keadaan baik (tidak terlalu hitam).

Jika kereta tidak banyak bergerak, bolehlah kita ‘lajak’ atau tangguh sedikit servis itu. Sebagai contoh untuk tempoh tiga atau enam bulan, boleh la kita tangguh sedikit menjadi empat atau tujuh bulan.

Bukan sahaja dapat jimatkan wang, malah dapat menjaga alam sekitar kerana kurang pembaziran minyak enjin.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

1 KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here