Hanya bagi salinan IC, dah boleh dapat lesen?

4632

Tidak perlu ambil ujian, hanya berikan salinan kad pengenalan serta membayar sejumlah wang anda sudah boleh mendapat lesen memandu.

Adakah semudah itu untuk kita mendapatkan lesen?. Tawaran sindiket lesen memandu secara haram itu mendakwa perkhidmatan mereka didaftarkan secara terus di dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).



Mungkin mereka yang terdesak akan terpedaya dengan tawaran yang dibuat menerusi media sosial (WhatsApp, Facebook, Instagram dan laman sesawang) itu. Modes operandi yang digunakan sindiket adalah:

  • Pelanggan hanya perlu memberikan gambar, dokumen dan maklumat peribadi
  • Membayar kos ditetapkan kemudian proses membuat lesen memandu mengambil masa tiga hingga lima hari
  • Pemohon hanya perlu menyertakan salinan kad pengenalan depan dan belakang dan alamat lengkap untuk tujuan pengeposan 
  • Ada 11 kelas lesen ditawarkan pada harga RM350 hingga RM750

TINDAKAN JPJ

Pihak JPJ merekodkan sebanyak 187 kes aduan (2018-2020) melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) melibatkan lesen palsu. Januari sehingga Jun 2021 pula merekodkan 40 kes aduan melibatkan isu pengiklanan lesen memandu secara tidak sah.

Difahamkan, JPJ melalui Bahagian Pelesenan Pemandu dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu melibatkan jenayah siber. 

Fungsi jawatankuasa itu untuk menyalurkan maklumat kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Selain itu, satu Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman (JKSD) di peringkat jabatan diwujudkan bagi menangani isu dan aktiviti pengeluaran lesen memandu tidak sah.

PROSEDUR AMBIL LESEN

Prosedur pengambilan lesen memandu adalah seperti mana yang ditetapkan undang-undang iaitu calon masih perlu menjalani (mengikut kelas):

  • Kursus teori KPP
  • Ujian Undang-Undang Jalan Raya (Bahagian 1)
  • Latihan praktikal litar (KPP02)
  • Latihan praktikal jalan raya (KPP03) 

Perlu diingatkan lesen tanpa ujian adalah tidak sah dan menurut Seksyen 29 (1)(a): sesuatu lesen memandu tidak boleh diberikan kepada mana-mana pemohon, melainkan jika memuaskan hati Pengarah dengan memegang lesen percubaan selama tempoh dua tahun dan membuat permohonan dalam tempoh selepas habis tempoh itu.

Merujuk Kaedah 3 di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992 menyatakan seseorang pemohon lesen belajar memandu, lesen memandu percubaan dan lesen hendaklah memohon dalam borang JPJL1 (Permohonan bagi lesen memandu kenderaan motor).

Pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang didapati memandu atau menunggang tanpa lesen boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum RM300 mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu atau penunggang motosikal yang tiada lesen memandu berdepan risiko didakwa di mahkamah jika tidak dapat menyelesaikan kompaun dalam tempoh ditetapkan.

Tindakan saman juga akan dikenakan ke atas pemilik kenderaan atas kesalahan membenarkan pemandu atau penunggang menggunakan kenderaan tanpa lesen.

DENDA 

Bagi pengguna yang didapati menggunakan ‘lesen terbang’ akan disiasat mengikut Seksyen 114, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 108 APJ 1987 iaitu hukuman minimum denda RM5,000 atau penjara atau kedua-dua sekali.

 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here