Hanya sekolah memandu cukup syarat boleh beroperasi dalam Fasa Tiga PPN

1693

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) meluluskan cadangan untuk membenarkan institut memandu beroperasi dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sarawak mulai 1 September.

Namun pengusaha institut memandu di Sarawak perlu memastikan semua kakitangan lengkap menerima dua dos vaksin dan hanya yang cukup syarat sahaja dibenarkan beroperasi.



Selain itu, pengusaha berkenaan juga harus memeriksa Sijil Digital Vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau Kad Vaksinasi Covid-19 sebelum membenarkan kakitangan memasuki premis.

“Mereka juga perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) latihan amali di dalam kenderaan Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM), seperti pemakaian pelitup muka oleh pengajar dan pelatih dipatuhi.

“Mereka juga diwajibkan membuka atau menurunkan tingkap kenderaan untuk peredaran udara yang baik serta mengelak penggunaan pendingin hawa,” kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Bagaimanapun, pembukaan institut memandu hanya untuk zon utara dan tengah, manakala zon selatan merangkumi Bahagian Kuching, Serian dan Samarahan ditangguhkan kerana peningkatan kes jangkitan Covid-19 di zon berkenaan.

SOP ketat itu dikemukakan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan melakukan pemeriksaan untuk memastikan semua mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here