“Motor ayah punya ekzos bising dia yang pasang, saya pinjam saja”

2625

Motor ini ayah punya, ekzos bising ini ayah yang pasang dan dia tidak benarkan tukar. Itu antara alasan yang diberikan salah seorang remaja yang ditahan ketika Ops Motosikal di Jalan Tun Razak malam Sabtu lalu.

Rata-rata remaja lelaki berusia belasan tahun dan awal 20-an yang ditahan dalam operasi jam 9 malam itu mengaku meminjam ‘motor bapa’ untuk keluar bersama rakan.



Kebanyakan mereka didapati melakukan kesalahan ubahsuai motosikal serta tiada lesen memandu. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dijalankan bertujuan mencegah kegiatan samseng jalanan.

“Kesalahan yang paling banyak dikesan malam ini adalah ekzos bising. Kita juga fokus untuk mengesan pemandu mabuk dan pelumba haram.

“Operasi di Jalan Tun Razak ini khususnya adalah untuk menghalang motosikal yang bising ini daripada mengganggu kawasan sekitar terutamanya kawasan hospital,” katanya. 

Sarifudin berkata, selain Jalan Tun Razak pihaknya turut menjalankan sekatan jalan raya di Jalan Bangsar menghala ke ibu negara.

“Dua motosikal disita di Bangsar dan 23 motosikal di Jalan Tun Razak. Sebanyak 298 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dalam operasi malam ini,” tambahnya. 

 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here