Porsche 911 GT3 generasi baharu masuk Malaysia, harga bermula RM1.76 juta

879

Hari biasa pandu ke pejabat, pada hujung minggu boleh pandu di litar, itulah kelebihan Porsche 911 GT3 ini.

Untuk makluman anda, pada 22 tahun lalu, Porsche memperkenalkan model 911 GT3 pertama daripada generasi 996 sebagai sebuah model  homologasi untuk perlumbaan FIA GT3 Cup.

Kini jentera yang hebat itu sudah pun masuk generasi ketujuh dan Porsche 911 GT3 serba baharu itu memindahkan teknologi perlumbaan ke dalam sebuah model produksi yang lebih sistematik.



Model baharu itu terbukti lebih baik apabila mencatat masa 17 saat lebih pantas berbanding versi terdahulu di litar Nürburgring Nordschleife. 

Bagi mencapai kejayaan itu, jentera ini hanya seberat 1,418kg (transmisi manual) dan 1,418kg (PDK) menggunakan banyak material ringan iaitu carbon-fibre reinforced plastic (CFRP) pada bonet hadapan dan wing belakang.

Banyak Guna Material Ringan

Tingkap pula dipasang dengan kaca ringan dan bateri starter kecil LiFePO4. Penggunaan rim tempa ringan dan sistem ekzos sport juga membantu mengurangkan berat sehingga 10kg.

Bagi prestasinya pula, ia dikuasakan enjin aspirasi biasa (NA) enam silinder bersesaran 4.0 liter yang boleh rev sehingga 9,000rpm. 

Enjin itu menyalurkan 510PS iaitu 10PS lebih tinggi berbanding versi sebelum ini dengan tork mencecah 470Nm yang mana kuasa itu disalurkan ke kotak gear PDK 7-kelajuan. 

Kelajuan maksimumnya boleh mencecah 320km/j dan menjadikannya lebih laju berbanding 911 GT3 RS sebelum ini. Pada masa sama, pelanggan boleh memilih 911 GT3 dengan kotak gear manual GT 6-kelajuan atau GT3 Touring Package tanpa kos tambahan.

Ciri baharu yang ada pada 911 GT3 itu adalah penggunaan suspensi hadapan double wishbone yang pertama kali diambil daripada jentera lumba 911 RSR Le-Mans. Suspensi itu tampil dengan geometri dan kaliberasi khas untuk memastikannya melekat di atas litar.

Aerodinamiknya juga dipertingkatkan menerusi wing belakang yang unik dan diffuser yang diambil daripada  911 RSR yang memberikan 50 peratus lebih downforce. Wing belakang dengan ciri ‘leher angsa’ boleh dilaras secara manual dan diffuser itu boleh ditala untuk meningkatkan tahap downforce sehingga 150 peratus.

911 GT3 dengan Touring Package

Ia dilengkapi kotak gear sports GT 6-kelajuan manual sebagai ciri standard untuk memberi kesempurnaan pemanduan gaya klasik.

Perbezaan paling ketara untuk Touring Package membabitkan ketiadaan wing belakang yang digantikan dengan spoiler automatik.

Pada masa sama, ia hadir dengan kemasan jalur perak yang diperbuat daripada aluminium berkilat pada bahagian sisi. Lid gril belakang pula dilekatkan dengan logo unik ‘GT3 Touring’ kemasan perak.

Hampir semua peralatan tambahan yang ditawarkan untuk 911 GT3 boleh dipadankan dengan Touring Package. Ini termasuklah warna luaran dan rim, lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS), Porsche Ceramic Composite Brakes (PCCB), variasi tempat duduk, sistem audio serta pakej Sport Chrono.

Ruang Kokpit Sesuai Untuk Pemandu Profesional

Ruang kokpit 911 GT3 itu direka dengan menggunakan rekaan generasi 992 terkini, tetapi ia mempunyai kluster instrumen menampilkan rev counter yang boleh mencecah rev 10,000rpm berserta dua paparan bersaiz 7.0 inci.

Skrin itu membantu pemandu berhubung infomasi trek membabitkan tekanan tayar, tekanan minyak, suhu minyak dan takat bahan api dengan hanya melalui satu sentuhan sahaja. 

Selain itu, ia dilengkapi bantuan shift dengan bar berwarna ke kiri dan ke kanan rev counter dan lampu shift untuk membantu masa penukaran gear yang lebih tepat. 

Sama seperti semua model 911 generasi 992, sistem hiburanya menggunakan skrin sentuh 10.9 inci yang turut memaparkan sistem Porsche Communication Management (PCM).

Sistem itu juga menyokong aplikasi Porsche Track Precision App bagi membantu pemandu untuk mencatatkan masa terbaik di litar dengan menggunakan data pemanduan terperinci seperti paparan secara langsung serta analisis video.

Tempahan Kini Boleh Dibuat Sekarang

Permintaan tinggi ke atas peralatan custom dalam kalangan pembeli model Porsche GT, Porsche Exclusive Manufaktur juga menawarkan opsyen khusus buat GT3.

Bakal pemiliknya boleh memilih bumbung gentian karbon, perumah cermin sisi karbon, perumah lampu matrix LED digelapkan dan lampu belakang tanpa komponen berwarna merah. 

Selain rim hitam, ia boleh dipilih menggunakan warna merah atau biru bagi meningkatkan penampilannya.

Bagi ruang kabin, opsyen yang boleh diplih membabitkan dial untuk rev counter, jam analog Sport Chrono dan tali pinggang keledar boleh diubah suai mengikut apa jua warna yang dimahukan. 

Bagi memberi lebih eksklusiviti, Porsche menawarkan program ‘Paint to Sample’ bagi personalisasi luaran dengan lebih 105 warna klasik dan bespoke yang sedia untuk dipilih.

Porsche 911 GT3 kini sudah boleh ditempah di Porsche Centre di seluruh negara dan harganya bermula RM1,766,244 dengan pengecualian cukai SST.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here