#TahukahAnda: Kenapa nombor plat Perak bermula dengan A?

22532

Pernahkah anda terfikir mengapa nombor pendaftaran Perak bermula dengan huruf A bukannya P seperti mana Pulau Pinang. 

Pemilik pertama kereta di Tanah Melayu sebenarnya berasal dari Perak kerana itulah nombor plat Perak bermula dengan huruf A.  



Sebelum ini nombor plat kereta perak didaftarkan di bawah PK. Perubahan daripada ‘PK’ kepada ‘A’ berlaku selepas Pentadbiran Tentera British memulakan semula sistem pada tahun itu kerana mereka tidak mahu keliru dengan nombor plat dari Singapura, Selangor, dan Pulau Pinang. 

Kemudian huruf B diberikan buat Selangor kerana negeri kedua yang mendaftarkan pemilikan kereta, diikuti Pahang dengan huruf C dan kemudian Kelantan yang mana nombor plat bermula dengan huruf D.

Menurut The Star, selepas itu bermula konsep penggunaan nombor plat mengikut awal huruf setiap negeri misalnya J buat Johor, K (Kedah) dan M (Melaka). Bagaimanapun Perlis perlu menggunakan R kerana P sudah digunakan oleh Pulau Pinang.

Bahkan Kuala Lumpur yang sebelum ini menggunakan nombor plat W kini berubah kepada V sejak Julai 2016. 

Selain itu, difahamkan juga Sabah menggunakan huruf S hanya selepas 1963 yang mana sebelum ini negeri tersebut menggunakan nombor pendaftaran E. Sementara, pada masa sama huruf Q diberikan buat Sarawak.

Sebelum ini, nombor plat dibezakan dengan nombor dan kemudiannya D untuk menandakan lima bahagian pentadbiran diikuti dengan urutan nombor.

PEMILIK PERTAMA NOMBOR PLAT PERAK

Difahamkan, pemilik kedai perubatan Cina Eu Yan Sang iaitu Eu Tong Sen merupakan pemilik pertama kenderaan. Dia dikatakan membawa masuk kereta ke Tanah Melayu pada 1902.

Menurut laman web Eu Yan Sang, bapa mereka Eu Kong memulakan kedai herba pada 1879 di Gopeng, Perak selepas meninggalkan Guangdong, China pada 1873.

Eu menghabiskan hidupnya dengan meluaskan perniagaan perlombongan dan perladangan getah keluarga dan menjadi tokoh terkemuka dalam industri itu menjelang 1920.

Pada masa itu, dia juga menubuhkan kedai perubatan berhampiran pusat operasinya untuk menjaga kesihatan pekerja yang akhirnya berkembang luas di luar Gopeng dan menjadi kedai perubatan Cina popular hingga ke hari ini bahkan memiliki francais di seluruh dunia.

Walaupun Eu merupakan individu pertama memiliki kenderaan di Tanah Melayu namun nombor pendaftaran keretanya tidak menggunakan A1. Nombor tersebut digunakan oleh arkitek British, Claude Henry Labrooy yang dikatakan memberi sumbangan besar kepada pembangunan Perak.

Perak dikatakan mempunyai kenderaan terbanyak dalam tempoh itu berkat kekayaan yang dijana daripada industri bijih timah.

Bahkan Ipoh pernah mendapat jolokan bandar jutawan ketika zaman kemuncak bijih timah dan perladangan getah sekitar 1910 sekaligus mengatasi bandar Taiping yang pernah menjadi ibu negeri Perak.

Selain itu, menurut Suara Perak kewujudan lampu isyarat yang pertama di Tanah Melayu juga dikatakan terdapat di Ipoh yang kini dikenali sebagai Bulatan Sultan Yussuf yang terletak berdekatan kediaman Menteri Besar.

Selain itu, Ipoh juga merupakan bandar pertama mempunyai tempat letak kereta bermeter pada 1960, dahulunya wujud berdekatan dengan Padang Ipoh.

Berikut nombor pendaftaran kenderaan mengikut negeri:

Perak A
Selangor B
Pahang C
Kelantan D
Putrajaya F
Johor J
Kedah K
Langkawi KV
Labuan L
Melaka M
Negeri Sembilan N
Pulau Pinang P
Perlis R
Sarawak Q
Sabah S
Terengganu T
Kuala Lumpur (siri 1 ) W
Kuala Lumpur (siri 2) V

 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here