Tiga ciri mengapa Porsche 911 GT3 ini sebuah jentera yang istimewa

1145

Sempena Porsche World Roadshow 2021 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada minggu lalu, penulis tertarik dengan satu model jenama Jerman berkenaan iaitu Porsche 911 GT3.

Biarpun diberi peluang memandu beberapa model Porsche lain seperti Taycan, Macan dan Cayenne,  911 GT3 memberi satu pengalaman yang cukup berbeza.

Dari segi pecutan, Taycan selaku kenderaan elektrik memang tiada tandingan, manakala Macan dan Cayenne sebuah SUV pula memberi keselesaan serta prestasi pemanduan yang cukup baik.



Bagaimanapun,  911 GT3 satu jentera paling istimewa, selain ia adalah jentera paling mahal yang disajikan untuk media untuk merasa barisan kenderaan Porsche ketika itu. Bayangkan, kereta terbabit dijual bermula RM1.76 juta

Bagi mereka yang minat jiwa kelajuan, selain mahu merasai pemanduan sebenar seperti kereta lumba, 911 GT3 adalah pilihan paling tepat.

Biarpun 911 GT3 ini dibangunkan dengan menggunakan konsep sukan permotoran, ia juga boleh dipandu di jalan raya biasa untuk pemanduan harian.

Ini bermakna ia boleh memandunya ke pejabat pada hari biasa, manakala hujung minggu pula boleh dipandu di litar.

Jentera yang dibangunkan hampir tiga tahun setengah itu sebenarnya sudah memecah rekod tersendiri di Litar Nürburgring, Jerman dengan mencatatkan masa 6 minit 59 saat iaitu 17 saat lebih pantas daripada model terdahulu.

Jadi kenapa ia berjaya mencatatkan masa lebih pantas berbanding model terdahulu? Ini adalah rahsianya:

Aerodinamik

Pertama ialah aerodinamik terutama pada bahagian hadapan, ia mempunyai sistem ambilan udara yang lebih besar untuk penyejukan. Pada masa sama, kesan penyejukan itu memberi kecekapan untuk kenderaan dan pada masa memberi aerodinamik yang lebih baik bagi mengelakkan bahagian depan terangkat.

Di sebalik bampar hadapan, ia juga mempunyai sirip yang boleh diubah secara manual untuk memberi ‘down force’ lebih bagus.

Di belakangnya pula, jentera berkenaan menggunakan spoiler dengan tiang ‘tengkok angsa’ yang sama digunakan pada jentera lumba Porsche 911 RSR untuk beri ‘downforce’. Ia boleh meningkatkan ‘downforce’  sehingga 150 peratus berbanding model sebelumnya.

Peresap belakang juga mampu meningkatkan sehingga 60 kilogram ‘downforce’ bagi 911 GT3 baharu supaya ia melekat pada permukaan jalan.

 

Casis

Kedua, ia menggunakan rim lebih besar yang mana di bahagian belakang bersaiz 21 inci, manakala belakang 20 inci. Tayar belakang yang digunakan juga lebih lebar sehingga 10mm berbanding sebelumnya untuk memberi cengkaman.

Suspensi hadapan kini turut menggunakan konsep ‘double wishbone’ untuk memberi kawalan pengendalian lebih responsif dan ia menjadi model pertama dilengkapi ciri itu.

Enjin

Ketiga adalah enjinnya, ia menggunakan rangkaian kuasa 4 liter enam silinder sebaris. Output yang terhasil daripada enjin itu adalah 510PS, iaitu 10PS lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Apa yang Porsche lalukan, ia mempunyai enam pendikit badan secara berasingan dengan berkeupayaan menekan pedal minyak sehingga 9,000rpm, selain dilengkapi dengan tujuh kelajuan automatik PDK.

Ia boleh memecut 0-100km/j dalam hanya 3.4 saat. Kelajuan maksimumnya pula boleh mencecah 320km/j dan menjadikannya lebih laju berbanding 911 GT3 RS sebelum ini.

Pengalaman Penulis Memandu Jentera Ini

Jika anda mampu, ini kereta sport yang anda perlu miliki! Itulah perkara pertama yang penulis mahukan kongsikan kepada anda.

Ini kerana jentera ini mempunyai ‘genetik’ sukan permotoran Porsche yang mana ia boleh dipandu di jalan raya biasa.

Pemanduannya juga tidak ‘seksa’ seperti membawa jentera lumba, masih lagi mempunyai elemen keselesaan biarpun menggunakan kerusi bucket serta suspensi yang tidak terlalu keras. 

Jika memandu di litar, 911 GT3 boleh dianggap sebagai ‘budak nakal’ kerana ia mampu memberi kejutan dari segi prestasinya dan paling penting kawalan yang lebih padu.

Setiap selekoh mampu diratah dengan baik dan memberi keyakinan, selain membuat penulis lebih berani melayan selekoh pada kelajuan tinggi.

Jadi tidak perlu hairan, mengapa ia boleh mencatatkan masa lebih pantas di Litar Nürburgring, Jerman berbanding sebelum ini. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here