Pengembara memilih pesawat berbanding pengangkutan lain bagi memendekkan masa perjalanan.
Ketika berada di udara, penumpang hanya berpandukan kepada skrin peta laluan sepanjang penerbangan.
Namun tahukah anda tidak semua kawasan boleh dilalui kapal terbang. Ada beberapa lokasi di dunia merupakan zon larangan terbang, jangan tidak percaya termasuklah rumah mewah Lionel Messi.
Berikut tempat-tempat yang menjadi zon larangan penerbangan atau no fly zone:
1. Kaabah
Anda yang berpeluang mengerjakan umrah atau haji, pernahkah melihat pesawat melintasi atas Kaabah atau selama ini sememangnya anda tidak pernah terfikirkan tentang perkara berkenaan.
Tiada pesawat yang melintasi kawasan Kaabah kerana kerajaan Arab Saudi sudah menetapkan lokasi suci umat Islam itu sebagai zon larangan penerbangan bagi pesawat komersial.
Selain itu terdapat juga teori menyatakan pesawat tidak dibenarkan melintasi Kaabah kerana lokasinya yang terletak di tengah kutub selatan dan kutub utara yang menjadi pusat magnetik bumi.
Namun, larangan berkenaan difahamkan agar tidak mengganggu jemaah melakukan ibadah.
2. Rumah Lionel Messi ‘One Eco Zero House’
Mengapa pesawat tidak boleh melintasi rumah mewah pemain bola sepak popular tersebut?. Ini kerana rumah bintang bola asal Argentina itu berada di bandar Gava Castelldefels yang hanya 10km dari lapangan terbang El Prat.
Oleh kerana larangan alam sekitar, lokasi Castelldefels diwartakan sebagai zon larangan penerbangan. Bandar tersebut dilindungi oleh peraturan alam sekitar yang mana jumlah dan pelepasan emisi pesawat boleh membahayakan hidupan liar di kawasan tersebut.
3. Machu Picchu
Kerajaan Peru melarang pesawat mahupun helikopter melalui tapak warisan dunia, Machu Picchu. Larangan sejak 2006 itu dilakukan supaya tidak mengganggu haiwan dan tumbuhan yang jarang ditemui di kawasan berkenaan.
Machu Picchu terletak jauh di dalam hutan tinggi Peru yang dikelilingi flora hijau yang subur. Pelbagai jenis tumbuhan, serangga dan haiwan boleh ditemui di lokasi tersebut termasuklah 300 spesies orkid.
Selain itu, banyak llama boleh ditemui berkeliaran di sekitar tapak purba itu selain beruang Andes, satu-satunya spesies beruang yang ditemui di Amerika Selatan.
4. Tibet
Tibet menjadi salah satu lokasi yang ‘haram’ dilintasi pesawat terbang di dunia. Bahkan Tibet juga tiada dalam peta laluan penerbangan dunia. Satu alasan pesawat tidak boleh melalui Tibet kerana adanya gunung Himalaya atas faktor keselamatan.
5. Taj Mahal
Pemerintah India tidak membenarkan pesawat melalui salah satu lokasi keajaiban dunia itu untuk melindungi bangunan Taj Mahal daripada terjadinya kecelakaan pesawat. Di samping itu, ia juga dilakukan bagi menjaga keamanan pengunjung.
Difahamkan, pentadbiran daerah memutuskan untuk mengisytiharkan kawasan 7.4 km di sekitar Taj Mahal sebagai zon larangan terbang.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar