Naik 91 peratus jualan Mitsubishi 2021, XPander paling laris

1018

Mitsubishi Motors Malaysia selaku pengedar rasmi Mitsubishi Motors di negara ini mencatatkan peningkatan jualan 91 peratus dengan menjual 17,489 kenderaan dari Januari hingga Disember 2021 berbanding tempoh sama pada 2020.

Peningkatan jualan itu dibantu menerusi model Mitsubishi XPander dengan mencatatkan 7,397 unit terjual dari Januari hingga Disember 2021.

Pencapaian itu juga menobatkan XPander sebagai crossover tujuh tempat duduk Jepun terlaris nombor satu di Malaysia.



Selain itu, trak pikap Mitsubishi Triton juga terus menikmati kejayaannya dengan 9,268 unit terjual dari Januari hingga Disember 2021. Ini adalah peningkatan jualan sebanyak 34 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Shinya Ikeda berkata, XPander mencatatkan prestasi jualan yang kukuh hasil daripada lanjutan tempoh insentif bebas cukai.

“Keputusan kerajaan Malaysia itu pastinya membantu industri untuk mengekalkan dirinya semasa fasa yang mencabar ini.

“Di Mitsubishi Motors, kami mahu meningkatkan jumlah pengeluaran untuk XPander bagi memenuhi kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi, dan memenuhi semua permintaan tempahan,” katanya.

Sementara itu, MMM turut menawarkan diskaun 30 peratus untuk alat ganti tulen dan diskaun 50 peratus untuk kos buruh mulai hari ini hingga 20 Januari 2022 bagi kenderaan yang rosak akibat banjir.

Selain itu, Mitsubishi Motors juga akan menyokong pemilik dengan menawarkan perkhidmatan tunda Percuma.

Pelanggan perlu lakukan ialah menghubungi talian penjagaan pelanggan 24 Jam Mitsubishi Assist (MA24) di 1-800-88-2166 untuk meminta perkhidmatan ini. Untuk maklumat lanjut, Talian Khidmat Pelanggan MMM boleh dihubungi di 1-800-18-8161.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here