Projek ECRL dijamin bebas banjir, beroperasi walau hujan lebat

3164

Projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan siap Disember 2026 dibina lebih tinggi bagi memastikan bebas daripada bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata selain pembinaan struktur yang tinggi, reka bentuk jajaran itu dibina berdasarkan kala purata ulangan (average recurrence interval-ARI) 100 tahun.



“Dalam reka bentuk, kita mengenalpasti beberapa lokasi (banjir) bukan sahaja di Terengganu tetapi di keseluruhan jajaran ECRL ini, sebab itu reka bentuk yang kita buat berdasarkan ARI 100 tahun dan kita tambah 20 peratus.

“Ia bagi memastikan supaya landasan yang dibina adalah landasan lebih tinggi daripada paras banjir yang tertinggi dalam tempoh 100 tahun dan ditambah lagi 20 peratus, InsyaAllah, jajaran dibina diatas paras banjir yang paling tinggi sebelum ini,” jelasnya. 

Misalnya di Pahang, Sungai Pahang jika mengikut statistik ketinggian paras banjir pada ketika itu adalah 38 meter dan landasan yang dibina setinggi 51.2 meter.

Tambahnya, pembinaan enam stesen di Terengganu akan bermula suku keempat tahun ini dan menjangkakan kerja-kerja infrastruktur  siap sepenuhnya pada 2024. Kemudian disusuli dengan kerja-kerja sistem dan sebagainya pada pertengahan 2026.

“Jajaran daripada Seksyen A,B dan CI (Temerloh ke Gombak) akan siap sepenuhnya pada Disember 2026.

“Secara keseluruhan, projek ECRL sudah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 28.57 peratus dan di Terengganu, kita sudah mencapai kemajuan kerja sebanyak 27.86 peratus,” katanya.

ECRL melibatkan rangkaian rel sepanjang 665km dengan 59 terowong panjang keseluruhan 61km, serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127km, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion. 

Pembinaan membabitkan jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu, manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here