Demi bergaya, sangup beli kereta klon RM5,000 melaram raya

4381

Keghairahan memiliki kereta mewah keluaran luar negara mendorong orang ramai mengambil jalan singkat membeli kereta klon dari Si­ngapura walaupun sedar risiko yang bakal ditanggung.

Tindakan itu bukan hanya untuk kepuasan diri bahkan keinginan ingin bergaya terutama pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Gambar hiasan

Mereka hanya perlu mengeluarkan kos sekitar RM5,000 untuk menikmati ‘kemewahan’ memandu kereta klon luar negara yang dibeli dari Singapura.



Seorang usahawan jualan langsung Sanusi, 30, berkata dia sanggup menanggung risiko apabila membeli sebuah kereta klon jenis Nissan Teana (2013) hanya pada harga RM5,000 dari seorang kenalan.

Bagaimanapun kenalannya itu bukanlah dalang kereta klon, tetapi mengenali individu lain dan bertindak selaku orang tengah.

Gambar hiasan

“Harga cukup murah kerana model sama buatan Jepun di kedai kereta terpakai dijual sekitar RM38,000 hingga RM43,000. Bagi saya, apa salahnya beli kereta klon untuk kegunaan ha­rian. Saya cuma memandu sekitar Gerik dan Kuala Kangsar sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada dia bimbang sekiranya berlaku kemalangan jalan raya kerana memandu kereta yang tidak dilindungi insurans, Sanusi mengakui perkara itu adalah risiko yang perlu dihadapi.

“Sebagai usahawan, orang sekeliling akan kagum dengan jenis kereta yang kita pandu.

“Jika bosan kita boleh tukar kereta lain, bahaya atau tidak itu belakang kira asalkan puas hati dapat miliki kereta idaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, sindiket menjual kereta klon terutamanya kereta skrap dari Singapura dikesan mula aktif melakukan promosi secara terang-terangan di media sosial.

Berdasarkan tinjauan Kosmo beberapa laman sosial Facebook memaparkan iklan menjual kereta skrap dari Singapura pada harga sekitar RM3,000 sehingga RM80,000.

Antara kereta yang ditawarkan adalah Honda Civic yang menjadi kegilaan orang muda, BMW, Volkswagen, Lexus dan Toyota.

Ketua Jabatan Siasatan Pe­nguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, kewujudan sindiket menjual kereta klon dan skrap dari Singapura berlaku sejak sekian lama.

“Sekarang pintu sempadan sudah buka, mereka (sindiket) dikesan mengaktifkan balik kegiatan menjual kereta klon atau skrap dari Singapura.

“Malah, sindiket ini juga semakin berani apabila mengiklankan bisnes haram mereka menerusi laman sosial secara terbuka,” katanya.

Kumaran berkata, kebiasaannya sindiket menjual kereta klon membeli atau menggunakan kenderaan skrap dari Singapura.

Jelasnya, bagi kenderaan skrap Singapura, sebelum tamat tarikh Certificate Of Entitlement (COE) atau dalam bahasa mudah permit tamat tempoh, kende­raan tersebut akan dibawa masuk ke Malaysia untuk ditransitkan.

“Pihak tertentu akan membuat urusan seterusnya terma­suk klonkan kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran yang sama mengikut jenama, model dan warna kenderaan yang telah wujud di Malaysia,” katanya.

Permit COE kenderaan Si­ngapura hanya berkuat kuasa selama tempoh 10 tahun dan selepas tamat tempoh kenderaan terbabit perlu dilupuskan.

Antara model yang sering di­klonkan ialah Honda Civic yang menjadi kegilaan orang muda, BMW, Volkswagen, Lexus, To­yota malah terdapat juga kereta kelua­ran tempatan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here