Sah! Perodua sumbang lima Myvi 1.5 Advance kepada polis Hulu Selangor dan Gombak

1202

Sebelum ini tular Perodua Myvi dengan menggunakan seragam kenderaan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun tiada kenyataan rasmi daripada kedua-dua pihak berkenaan.

Kali ini, secara rasminya Perodua Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan bahawa syarikat automotif tempatan itu memberi sumbangan lima Myvi kepada Polis Selangor pada hari ini.



Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, sumbangan itu adalah satu daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama dengan pihak PDRM.

“Selain sumbangan kenderaan, Perodua turut menyediakan penyelenggaraan percuma untuk kelima-lima Myvi,” katanya pada Majlis Penyerahan Kenderaan Perodua Kepada Kontinjen Selangor, sebentar tadi.

Hadir sama Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Sementara itu Arjunaidi berkata, kenderaan itu bakal digunakan untuk melaksanakan tugasan rasmi dan rondaan harian bagi mencegah jenayah di kawasan Hulu Selangor dan Gombak.

“Tiga unit kenderaan ditempatkan di Balai Polis Serendah, Hulu Selangor dan Rasa, manakala setiap satu unit di cawangan pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor serta IPD Gombak.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Perodua kerana kehadiran kenderaan ini bakal menampung kekurangan kenderaan polis di kawasan berkenaan,” katanya.

Ketika ditanya nilai sumbangan itu, Arjunaidi memaklumkan ia bernilai RM400,000 termasuk lima unit Myvi dan kos penyelenggaraan selama dua tahun yang disumbangkan.

Galeri Gambar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here