Projek LRT 3: Syarikat China diminta lunas tunggakan RM25 juta

1090

Satu demonstrasi aman diadakan di depan sebuah stesen minyak di Seksyen 1, menghala Kuala Lumpur, Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam.

Demonstrasi itu dilakukan oleh sekumpulan wakil sub kontraktor dan pembekal tempatan yang terlibat dalam Projek Laluan Transit Aliran Ringan Fasa 3 (LRT 3) Pakej GS05 dan GS06.



Pihak yang terlibat menuntut China Railway 17th Bureau Group (M) Sdn Bhd (CRCC17) melunaskan bayaran berjumlah lebih daripada RM25 juta yang setahun tertunggak.

Wakil sub kontraktor dan pembekal itu dilantik oleh CRCC17 untuk ‘Projek Membina dan Menyiapkan Laluan, Stesen, Park and Ride, bangunan, ancillary dan kerja-kerja berkaitan yang lain di bawah Pakej GS05 dan GS06 Laluan LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang.

Sub Kontraktor Utama bagi Projek LRT Fasa 3 Pakej GS05 ialah Apex Communication Sdn Bhd manakala Rahimkon Sdn Bhd pula Sub Kontraktor Utama bagi Pakej GS06. Kontraktor utama bagi kedua-dua pakej berkenaan adalah CRCC17.

Pengarah Urusan Izani Wawasan Enterprise (IZW) Sdn Bhd, Rozani Aziz berkata, ia adalah projek Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan klien projek adalah Prasarana Malaysia Berhad.

“Masalahnya sejak setahun lalu, kami sub-sub kontraktor dan pembekal yang diberi tanggungjawab menyiapkan pelbagai kerja mengikut pelbagai bidang kepakaran masing-masing dalam kedua-dua pakej ini tidak menerima bayaran bagi kerja yang dilaksanakan dan disahkan pegawai pihak CRCC17.

“Kami dijanjikan berulang kali setiap bulan oleh Pengarah Projek CRCC17, bahawa bayaran akan dibuat, tetapi janji itu tidak ditepati dan setiap kali kami memohon CRCC17 untuk menjelaskan bayaran tertunggak, ia masih lagi tidak dibuat,” katanya. 

Jelasnya beberapa siri mesyuarat diadakan bersama pengurusan tertinggi CRCC17, wakil pihak sub kontraktor yang berkumpul hari ini juga telah cuba menghantar surat kepada pelbagai pihak yang ada kaitan dengan Projek LRT Fasa 3.

Selain Izani Wawasan, antara syarikat sub kontraktor lain yang turut terjejas ialah Specom Engineering, Commerce Bass Sdn Bhd, KKB Construction Sdn Bhd, RM Leopad Sdn Bhd, Experiva Solutions, Wai Tatt Engineering Sdn Bhd, Leopad Hire Sdn Bhd, Pekat E & LP Sdn Bhd, Huls Transmission Sdn Bhd, Sunward Piling Sdn Bhd, Yuen Tong Construction Sdn Bhd, Honeywell Machinery, dan Public Crane Sdn Bhd.

Syarikat lain termasuk CTSM Geotechnology Sdn Bhd, Spectech SRS Sdn Bhd, Doshin Rubber Products (M) Sdn Bhd dan Mansk Trading.

Sehubungan itu, sub kontraktor dan pembekal tempatan kini makin terdesak dan mendakwa terpaksa mengadakan demonstrasi pada hari ini dengan harapan nasib mereka dan kira-kira 3,000 pekerja terbela.

Projek LRT 3 dimulakan Ogos 2015 dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024 dengan jajaran laluan sepanjang 37.8km termasuk 2km di bawah tanah dengan kapasiti kelajuan operasi 80kmj.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here