Nissan Skyline R34 GT-R Nismo CRS sifar perbatuan dijual pada harga RM3.1 juta

2214

Pengedar kenderaan di Hong Kong, Contempo Concept HK Motors memuatnaik iklan jualan Nissan Skyline R34 GT-R Nismo Clubman Race Spec (CRS) pada harga HKD 5,180,000 (RM3.1 juta).

Sekiranya model berkenaan terjual akan menjadikan R34 paling mahal di dunia. Menariknya perbatuan kereta berprestasi berkenaan masih 0 km. 



Nissan R34 berkenaan bukanlah model yang bishe-bishe kerana CRS  merupakan pengubahsuaian rekaan kilang Nismo Omari yang disesuaikan khusus mengikut kehendak pemilik.

Terdapat segudang pilihan yang ditawarkan termasuk nombor yang dipinjam daripada Z-Tune, tetapi tidak semuanya perlu dipasang untuk mendapatkan pensijilan CRS rasmi.

Nissan Skyline R34 GT-R Nismo CRS berkenaan didatangkan dengan warna badan Midnight Purple III. Unit jualan merupakan versi paling berkuasa CRS dengan enjin Nismo RB26DETT R3 (R-tune concept engine Spec 3).

Janakuasa yang menghasilkan output 444hp dan tork 471Nm itu dilengkapi dengan blok RB26 spesifikasi N1 sama seperti enjin R2 Nismo. Kemudian ia disempurnakan dengan komponen R3 antaranya pengecas turbo, aci sesondol, kotak komputer enjin dan kit pancitan bahan api. 

Penghantaran kuasa ke semua roda disalurkan menerusi kotak gear 6-kelajuan manual bersama kit klac plat berkembar Nismo. Keyakinan menghentikan jentera berkuasa tinggi itu diserahkan kepada brek Brembo di depan dan belakang. 

Secara fizikal, luaran model berkenaan menerima penggayaan luaran R34 Nismo Z-Tune. Bahagian bampar dan fender depan menggunakan material gentian karbon, hud depan Nismo R-Tune dan rim Nismo LMGT4.

Bahagian dalaman R34 CRS didatangkan dengan ciri peralatan Nismo antaranya stereng, karpet, tombol gear, kerusi bucket dan lain-lain.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here