#TahukahAnda: Jangan ambil mudah, ini risiko sambung bayar kereta…

1928

Suami saya menyerahkan Perodua Viva kepada adiknya untuk sambung bayar kerana simpati tidak memiliki kenderaan.

Tetapi si adik mula culas melangsaikan bayaran bulanan sehingga tertunggak selama tiga bulan. Sikap tidak bertanggungjawab itu memberi kesan kepada suami untuk membuat pinjaman baharu kerana rekod bayaran yang tidak cantik.



Akhirnya dia terpaksa melangsaikan bayaran bulanan yang tertunggak dan mengugut si adik untuk mengambil semula kereta. 

Situasi tersebut mudah diselesaikan apabila melibatkan adik beradik tetapi bagaimana pula sekiranya kenderaan diberikan kepada individu yang tidak dikenali mahupun rakan.

Keadaan akan menjadi lebih rumit dan lebih mengecewakan kenderaan tersebut memiliki beberapa rekod saman.

Ini beberapa situasi dihadapi oleh pemilik sambung bayar, seharusnya anda tidak boleh meletakkan ‘atas dasar kepercayaan’ apabila melibatkan urusan sambung bayar. 

Di bawah beberapa persoalan yang perlu anda ketahui tentang situasi dan risiko sambung bayar kenderaan. 

Soalan: Mengapa orang lebih gemar mengambil mudah dengan membeli atau menjual kereta sambung bayar?

Jawapan: Kebiasaannya siapa yang akan beli kereta sambung bayar?. Pertama, mereka yang tidak layak membuat pinjaman. Sebagai contoh nama disenarai hitam oleh pihak bank.

Kedua, mereka yang tidak mempunyai wang untuk membayar deposit atau duit pendahuluan. Ketiga, dokumen yang dilampirkan untuk membuat permohonan pinjaman tidak cukup kuat seperti gaji asas rendah, terlalu banyak komitmen dan sebagainya.

Soalan: Jadi  apakah risiko yang terdedah buat mereka yang membeli atau menjual kereta secara sambung bayar?.

Jawapan:  Apa saja yang berlaku terhadap kereta itu menjadi tanggungjawab si pemilik. Contohnya berlaku kes jenayah atau disaman. Yang menerima akibatnya adalah pemilik kereta asal dan bukan pemilik yang sambung bayar.

Apa-apa saja aktiviti yang dilakukan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemilik asal kenderaan. Pemilik juga harus ingat, kebanyakan mereka yang membeli kereta sambung bayar kebiasaannya memiliki rekod buruk seperti nama disenarai hitam, ada masalah kewangan dan sebagainya. Jadi mereka berisiko untuk tidak bayar ansuran. Akibatnya, anda terpaksa tanggung hutang.

Masalah yang paling banyak berlaku adalah kes melibatkan jualan atas jualan?. Andaikan anda jual kenderaan secara sambung bayar kepada Ali. Dua bulan kemudian, Ali jual semula kenderaan tersebut secara sambung bayar kepada Abu dengan mengaut keuntungan atas angin.

Akibatnya, anda tidak tahu siapa pemilik ketiga berkenaan. Bagaimana jika bayaran bulanan tidak dibuat kepada pihak bank? Siapa yang perlu anda tuntut?.

Soalan: Ada yang membuat surat perjanjian, adakah ia sah? 

Jawapan: Walaupun ada perjanjian antara anda dan pemilik kenderaan asal, adakah ia sah dari segi undang-undang?. Ya, kedua-dua pihak boleh buat surat perjanjian dan ada juga membuat stamping.

Anda harus tahu, pemilik asal memiliki kuasa mutlak ke atas kenderaannya selagi nama pemilik tidak ditukar. Bila-bila masa dia boleh minta balik kenderaannya dan anda perlu serah semula.

Dalam undang-undang seksyen 10 jelas  menyebut apabila sesuatu kenderaan yang bertukar milik perlu lapor di mana-mana JPJ dalam tempoh 7 hari bekerja.

Soalan: Bagaimana pula dengan pihak bank?

Baca juga >> #TahukahAnda: Isi minyak motor berlebihan sebenarnya membazir…..

Baca juga >> #TahukahAnda: Ada tombol AHB pada kereta, ini cara guna….

Seperti laporan akhbar sebelum ini, pemilik kenderaan yang memajak kereta kepada pihak ketiga tanpa persetujuan daripada pihak bank boleh didenda atau dipenjarakan.

Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan, kes-kes sambung bayar dan juga pajakan kereta melanggar peruntukan Akta Sewa Beli 1967.

Penguatkuasaan akta ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967, jika pemilik asal didapati bersalah menjual kenderaan ketika perjanjian sewa beli masih berkuatkuasa, mereka boleh didenda hingga RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here