Pemilik sambung bayar kereta boleh dipenjara…

1056

Pemilik kenderaan yang memajak kereta kepada pihak ketiga tanpa persetujuan daripada pihak bank boleh didenda atau dipenjarakan.

Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan, kes-kes sambung bayar dan juga pajakan kereta melanggar peruntukan Akta Sewa Beli 1967.



“Tindakan boleh diambil terhadap pemilik kenderaan terbabit yang menyerahkan kenderaan untuk disambung bayar atau dipajak kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada bank,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, penguatkuasaan akta ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967, jika pemilik asal didapati bersalah menjual kenderaan ketika perjanjian sewa beli masih berkuatkuasa, mereka boleh didenda hingga RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, Kementerian Dalam Negeri mengetahui kes sambung bayar dan pajakan kereta sebagai penyelesaian pemilik kereta yang tidak berkemampuan membayar ansuran bulanan kepada bank.

“Masalah berlaku apabila kereta yang dijual secara sambung bayar atau pajakan ini tidak dibayar sewa bulanan kepada bank, sekali gus menyebabkan penama kenderaan disenarai hitam.

“Kes-kes ini tidak boleh dikategorikan sebagai kes curi kereta kerana tidak memenuhi elemen kesalahan mencuri seperti dikatakan dalam Seksyen 378 Kanun Keseksaan.

“Namun, dalam siasatan dijalankan polis, jika terdapat unsur penipuan, polis akan siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelas kenyataan itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here