“Nak takut apa, JPJ makin slow,” tonto lori

882

“Nak takut apa?. Dulu ada pasukan elit JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tapi sekarang tak berapa ada ‘sengat’ lagi. Sebab itu ramai tonto senang sikit buat kerja,” kata salah seorang tonto yang hanya mahu dikenali sebagai Raj, 37.

Menurutnya, Unit Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ ditubuhkan sekitar 2016 kurang memberi ancaman kepada kegiatan tonto kini yang masih mengekori gerak geri kenderaan penguatkuasa JPJ dan lain-lain agensi berkaitan.



“Mula-mula dahulu memang ‘panas bontot’ bila tahu pasukan khas JPJ ini ada senjata api, kejar dan tangkap tonto. Tapi lama kelamaan makin slow sampaikan tonto tak gentar dan boleh teropong (intip) pejabat JPJ bila-bila masa.

“Sekarang pun driver (pemandu) lori dah pandai pilih waktu. Mereka tak bawa lori masuk lebuh raya pada waktu puncak. Biasanya mereka pilih waktu antara jam 3 hingga 6 pagi.

“Biasanya waktu begini tiada penguat kuasa atas jalan dan tiada road block (sekatan jalan raya). Kami hanya salur maklumat jika nampak kenderaan JPJ keluar dari kandang (ibu pejabat),” katanya.

Kegiatan tonto akan terus ditagih syarikat lori bermasalah yang sanggup membayar ribuan ringgit sebulan kepada tonto upahan.

“Ada bayar ikut minggu, ada bayar ikut bulan asalkan lori mereka tidak ditahan JPJ. Upah memang lumayan dan boleh cover (tampung) hidup,” katanya.

Sementara itu berdasarkan siasatan wartawan mendapati kumpulan tonto tidak sekadar memerhati dan mengekori pergerakan harian kenderaan penguat kuasa JPJ malah mereka memiliki senarai hampir semua kenderaan JPJ.

Ia berdasarkan penemuan maklumat senarai kenderaan JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan JPJ Selangor dikongsi tonto sebagai rujukan sesama mereka.

Antara model kenderaan dan nombor plat milik JPJ berada dalam rekod tonto membabitkan kenderaan berpuluh pacuan empat roda Toyota Fortuner dan Ford Ranger, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV, dan kereta Proton Inspira.

Lebih mengejutkan apabila tonto turut boleh ‘meramal’ lokasi bakal serta jadual operasi JPJ dan polis trafik di sekitar Lembah Klang sekali gus mencetuskan tanda tanya berhubung isu kebocoran maklumat.

Turut disebarkan tonto kepada pemandu lori adalah gambar kenderaan penguat kuasa JPJ yang berada di Stesen Penguatkuasa JPJ.

Baru-baru ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan memaklumkan polis menerima lima laporan polis berkaitan aktiviti tonto yang menjadi pemberi maklumat bagi menggagalkan tugas JPJ sejak Januari lalu.

Beliau berkata, dua kertas siasatan berjaya dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menurutnya, tonto boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here