Kecewa dengan Proton, Karamjit bakal guna Myvi Turbo 2.0 rali tahun ini

3639

Legenda rali negara Karamjit Singh mengucapkan selamat tinggal kepada jenama kereta kesayangannya Proton dan mengalihkan tumpuan kepada Perodua Myvi bagi mengharungi saingan perlumbaan musim ini.

Pelumba berusia 60 tahun yang dikenali sebagai ‘Flying Sikh’ itu berkata meskipun beliau merupakan peminat tegar Proton, keputusan tersebut terpaksa dibuat selepas tidak mendapat sokongan daripada pengeluar kereta pertama Malaysia itu.



Katanya, selepas ini beliau tidak lagi akan berlumba menggunakan kereta Proton Gen2 berusia 16 tahun yang dibelinya pada 2017, serta sudah membelanjakan lebih RM500,000 duit simpanannya bagi tujuan pengubahsuaian.

“Lagi pun sekarang kereta rali di seluruh dunia sama ada di WRC (World Rally Championship) 1 atau 2 memang kecil, macam saiz Myvi, lagi senang untuk memandu dan beratnya juga kurang. Jadi sebab itu juga saya setuju cuba Myvi, mana tahu Perodua akan sokong kita di masa depan.

“Saya sebenarnya rasa sayang nak bertukar kerana saya peminat Proton sejak tahun 1988, tapi apa boleh buat dia (Proton) memang tak ada bagi sokongan, jadi terpaksa tukar,” katanya pada Majlis Penyampaian Trofi Kejohanan Rali Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Bagi musim 2023, Karamjit bakal mempertahankan gelaran juara kebangsaan pada kejohanan yang dijadual bermula Jun depan, selain bersaing pada Kejuaraan Rali Indonesia dan bercadang bertanding pada Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC).

Justeru bagi memastikan kereta baharu mengikut spesifikasi perlumbaan antarabangsa, beliau berkata kos pengubahsuaian ialah antara RM500,000 sehingga RM800,000, menyaksikan jentera itu bakal diubah suai antaranya menggunakan enjin 2.0 liter turbo dan menjadi pacuan empat roda.

Kos yang tinggi itu menyaksikan juara kebangsaan 17 kali dan APRC tujuh kali tersebut  mengharapkan ada pihak dari kerajaan atau sektor korporat yang akan tampil memberi bantuan.

Mengulas lanjut, Karamjit berkata Proton Gen2 miliknya itu akan disewa kepada pelumba lain untuk digunakan dalam mana-mana perlumbaan, memandangan keadaannya terbukti dalam keadaan baik.

“Kereta ini dah tunjuk prestasinya apabila tahun lepas kita menang banyak perlumbaan di Indonesia dan Malaysia, kiranya saya nak sewa supaya dapat balik sedikit wang yang telah dibelanjakan, kalau nak jual (sekarang) memang sayang sebab dah belanja banyak selain nilai pasaran yang rendah,” katanya.

Sebagai rekod, Karamjit pernah memandu pelbagai model Proton iaitu Saga bermula 1988-1992, Iswara (1993-1994), Wira (1995-1999 dan 2006-2007), PERT (2000-2005), Satria Neo (2011-2015) dan Gen2 dari 2017 sehingga tahun lalu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here