Inilah wajah sebenar Perodua Axia Serba Baharu tanpa pelekat penyamaran

1694

Akhirnya, Perodua menyiarkan gambar penuh secara rasmi kereta kompak Axia generasi kedua kepada umum dalam kenyataan media yang dihantar sebentar tadi. 

Perodua Axia serba baharu dibangunkan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) bersama enjin 1.0 liter VVT-i 1KR-VE 3-silinder yang menghasilkan kuasa 67hp dan tork 91Nm.

Enjin berkenaan tidak didatangkan dengan turbo seperti mana khabar angin sebelum ini. Perodua memperkenalkan transmisi D-CVT yang mana pertama kali diperkenalkan pada Ativa.



Jentera itu dijangka akan dilancarkan pada 14 Februari ini secara rasminya yang mana harganya dijual bermula RM38,600 sehingga RM49,500.

Sementara itu dalam kenyataan media, Perodua mengumumkan bahawa jualannya pada Januari 2023 melonjak 23 peratus kepada 21,449 unit yang didaftarkan berbanding 17,444 unit pada bulan pertama 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya mensasarkan untuk mendaftar 314,000 unit dan mengeluarkan 330,000 unit untuk keseluruhan tahun 2023.

“Selain memberi tumpuan untuk menyelesaikan pesanan tertunggak, kami juga akan melancarkan Perodua Axia Serba Baharu tidak lama lagi untuk terus mengujakan pasaran. Kami percaya cadangan nilai kami akan diterima baik oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Mengenai Perodua Axia Serba Baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Zainal berkata syarikat itu sudah menukar hampir semua tempahan terdahulu model Axia semasa kepada model yang baharu.

“Penasihat jualan kami Sudah menghubungi pelanggan untuk memaklumkan mengenai pertukaran Perodua Axia Serba Baharu dan kebanyakan mereka bersetuju untuk menukar kepada model baharu tersebut,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here