Perodua Axia Serba Baharu terima 3,591 tempahan, varian paling mahal menjadi pilihan

3479

Perodua menerima 3,591 tempahan untuk model Axia serba baharu selepas seminggu dibuka pada 31 Januari lalu. Dalam masa tujuh hari, purata sehari yang menempah Perodua Axia mencapai 513 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, daripada jumlah itu, varian tertinggi iaitu SE dan AV menerima tempahan paling banyak berbanding G serta X.

“Pengguna di Malaysia memang menghargai teknologi yang kita tawarkan pada model ini.



“Bagi varian SE dan AV, kedua-duanya menerima nilai tambahan yang lebih banyak, penggunan di Malaysia boleh menerimanya. Saya percaya, mereka menghargai spesifikasi yang ditawarkan pada kedua-dua varian ini,” katanya.

Minggu lalu, Perodua mengumumkan tempahan Axia serba baharu dibuka di pasaran tempatan menerusi empat pilihan varian iaitu G, X, SE dan AV.

Perodua Axia serba baharu dibangunkan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) bersama enjin 1.0 liter VVT-i 1KR-VE 3-silinder yang menghasilkan kuasa 67hp dan tork 91Nm.

Enjin tersebut tidak didatangkan dengan turbo seperti mana khabar angin sebelum ini. Perodua memperkenalkan transmisi D-CVT yang mana pertama kali diperkenalkan pada Ativa.

Sementara itu, Perodua juga mensasarkan tempahan sekitar 5,700 unit sebulan untuk model baharu.

Pada masa sama, Zainal Abidin memaklumkan bahawa Perodua masih mempunyai 44,000 unit tempahan Axia lama yang masih tertunggak.

“Pihak kami sudah pun menghubungi pelanggan yang membuat tempahan Axia lama, setakat ini kita menerima respon yang positif untuk menukar model lama kepada yang baru,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here