Pegawai MBSA didakwa terima Toyota Vellfire

962

Seorang pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima suapan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bernilai RM325,000, enam tahun lalu.

Tertuduh, Feroz Hanif Mohamed Ahmad, 47, yang merupakan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kejuteraan MBSA membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Feroz Hanif didakwa sebagai penjawat awam telah menerima untuk dirinya Toyota Vellfire 2.5 bernilai RM325,000 tanpa balasan dari seorang pengurus syarikat yang diketahuinya ada kaitan dengan tugasnya sebagai Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan MBSA.



Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis jualan kereta di Kampung Kayu Ara Damansara Utama dekat sini pada 14 April 2017.

Justeru, dia diakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bersama penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri setiap awal bulan ke pejabat SPRM.

Sebutan semula kes tersebut pada 24 Mac ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here