“Tempoh menunggu Perodua antara 2.5 sehingga 8 bulan” – CEO

2164

Walaupun masih terdapat banyak lagi cabaran di dalam isu bekalan cip semikonduktor, peningkatan kos dan sebagainya, Perodua masih lagi berjaya mencatatkan pertumbuhan dua angka di dalam pengeluaran dan jualan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, setakat ini, permintaan untuk kenderaan Perodua masih kekal kukuh dan pihaknya sedang mempertingkatkan lagi jumlah pengeluarannya untuk memenuhi permintaan tersebut.

“Hasilnya, purata tempoh menunggu setakat 28 Februari kini adalah di antara 2.5 dan 8 bulan. Semestinya, tempoh masa ini adalah tertakluk kepada model, varian dan warna.



“Oleh yang demikian, kami memohon maaf kepada pelanggan dan berterima kasih di atas kesabaran mereka. Kami akan cuba menambahbaik lagi pengeluaran dan pendaftaran kami pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya.

Beliau menambah, Perodua akan terus meningkatkan operasi termasuk ekosistemnya serta masa penghantaran kepada pelanggannya.

Sementara itu, Perodua, pembekal dan pengedarnya terus mengorak langkah ke hadapan apabila pengeluaran terkini (YTD) bagi pengeluar kereta nasional itu meningkat 32.95 peratus kepada 51,134 unit daripada 38,460 unit.

Jumlah jualannya turut meningkat 33 peratus kepada 46,385 kenderaan daripada 34,865 kenderaan untuk dua bulan pertama tahun ini.

Pencapaian itu disumbangkan oleh peningkatan kecekapan dalam aspek pengeluaran, kemudahan pembiayaan kepada pengedar Perodua yang lebih baik serta komunikasi yang menyeluruh di dalam ekosistem dan juga pelanggan Perodua. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here