Polis cari kumpulan lelaki pukul pemandu treler

471

Polis giat mengesan beberapa lelaki yang dipercayai memukul pemandu treler selepas berlaku kemalangan menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Kampung Telok Gong, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berusia 36 tahun yang mendakwa dipukul beberapa lelaki sehingga mendatangkan kecederaan.



Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa sedang memandu lori kontena bermuatan peralatan membuat paip di laluan terbabit pada jam 11.30 pagi.

Katanya, ketika melalui simpang Jalan Bawal, Telok Gong secara tiba-tiba sebuah motosikal keluar dari persimpangan jalan berkenaan.

“Penunggang motosikal bersama dua pembonceng iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan sehingga kanak-kanak perempuan tergilis tayar belakang lori dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Selepas kemalangan berlaku, sekumpulan lelaki kemudian berkumpul di lokasi kejadian dan memukul pemandu lori kontena dan memecahkan cermin hadapan kenderaan itu.

“Akibat daripada itu, pemandu lori kontena mengalami kecederaan luka di pipi kanan, lebam mata, sakit di seluruh anggota badan dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya.

Menurutnya, susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat terhadap harta benda.

Katanya, pihak polis masih meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek-suspek yang terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Semalam, media melaporkan kemalangan berlaku ketika dua beradik iaitu Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, dan Alif Zahfran, 7, dalam perjalanan pulang dari sekolah dengan membonceng motosikal bersama wanita berusia 54 tahun yang juga jiran mereka.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here