Hiperon Motors bakal perkenal Fosslin, SUV dari Malaysia

536

Syarikat pemula automotif Malaysia, Hiperon Motors memperkenalkan imej bayangan pertama crossover mewah empat pintu berkuasa elektrik/hidrogen yang dinamakan Fosslin.

Sebelum ini Hiperon Motor melancarkan van elektrik, Carrier pada 2021 dan kini merancang mengeluarkan Fosslin menerusi 10 unit kumpulan pertama yang akan dihantar pada suku ketiga 2023.



Walaupun Hiperon Fosslin berasal dari Malaysia, rekaan model itu dihasilkan oleh studio reka bentuk automotif Eropah, One One Lab dan proses kejuruteraan di Amerika. 

Pada masa ini, hanya lakaran dan imej bayangan yang dikongsi. Tidak diketahui sama ada syarikat itu sudah membina versi prototaip.

Crossover tersebut memiliki dimensi panjang 4,880mm, lebar (1,990mm), tinggi (1,689mm) dan jarak roda 2,950mm.

Ini meletakkan Fosslin di antara Tesla Model Y dan Model X. Sama seperti Tesla EV, Hiperon Fosslin mempunyai siluet aerodinamik dengan overhang pendek dan bentuk coupe-SUV.

REKAAN

Gril depan tertutup sepenuhnya lalu dipadankan dengan lampu LED bersama tingkap tanpa bingkai. Bukaan pintu depan dan belakang bercantum dan spoiler yang digabungkan dengan but.

Manakala, bahagian kabin didatangkan dengan empat tempat duduk individu, bumbung panorama lebih besar, stereng gaya yoke, pencahayaan suasana, dan konsol tengah yang agak ‘kurus’ menempatkan sistem infotainmen di bawah penutup kaca. 

Terdapat juga beberapa butang kawalan pada tepi pintu. Selain itu, Fosslin dilengkapi dengan kawalan suhu tiga zon automatik, pemanas kerusi, perehat tangan, paparan head up, navigasi, sistem bunyi 3D, enam slot USB, pengecas tanpa wayar dan ADAS. 

Bagaimanapun Hiperon hanya mendedahkan spesifikasi teknikal varian elektrik yang dilengkapi dengan pek bateri 95 kWh yang menawarkan pemanduan sejauh 450km.

Motor elektrik menghasilkan output 480hp dan tork 670Nm. Pecutan dari 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 5-saat dengan kelajuan maksimum 260kmj.

Syarikat itu pada mulanya akan mengeluarkan lima unit elektrik dan lima unit hidrogen yang dijadualkan dihantar pada suku ketiga tahun ini.

Selepas tiga bulan ujian dunia sebenar dengan pelanggan terpilih, Hiperon berjanji akan menjadikan Fosslin tersedia di Asia, Eropah dan Amerika Utara pada harga yang tidak didedahkan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here