Bergaduh gara-gara motor bergesel di CIQ, dua lelaki ditahan

343

Dua lelaki yang bekerja di Singapura ditahan selepas bergaduh gara-gara motosikal bergesel di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, minggu lalu. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pergaduhan itu berlaku kira-kira jam 4 petang ketika masing-masing dalam perjalanan pulang dari  Singapura ke Malaysia.

“Mereka mula bertengkar sebelum bergaduh dan saling berbalas tumbukan apabila melepasi kaunter M-Bike.



“Kejadian ini berpunca apabila motosikal dinaiki salah seorang suspek tergesel motosikal ditunggang seorang lagi suspek di laluan motosikal di CIQ BSI,” katanya.

Jumaat lalu, tular satu video berdurasi 14 saat memaparkan insiden pergaduhan antara penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan seorang lagi suspek lelaki.

Pergaduhan tersebut menyebabkan laluan tersebut menjadi sesak hingga menyebabkan penunggang motosikal yang lain berada di lokasi terpaksa meleraikan pertelingkahan itu.

Raub berkata, suspek pertama berusia 27 tahun ditahan dan kini masih dalam tahanan reman selama empat hari sehingga Khamis.

Katanya, suspek pertama mempunyai dua rekod lampau kes dadah dan ketika ditahan juga didapati positif ganja.

“Semalam, seorang lagi suspek berusia 34 tahun ditahan di sekitar daerah ini dan perintah remannya akan dipohon hari ini,” katanya.

Menurut Raub, tiada kecederaan dilaporkan ketika kejadian, namun terdapat penggunaan senjata ketika itu menyebabkan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here