“Daripada membazir beli sport rim dan topi berjenama, guna duit pergi haji,” Wazi

357

Bekas pelumba profesional, Wazi Abdul Hamid cemburu melihat ramai anak muda luar negara berebut mengerjakan haji berbanding remaja Malaysia yang lebih suka berhibur dan membazir duit membeli sport rim serta topi keledar berjenama.

Juara Cub Prix Malaysia 1996 itu berkata, sudah tiba masa anak muda menggunakan duit untuk mendaftar haji sebanyak RM1,300 bagi merebut giliran ke Tanah Suci.



Jururunding keselamatan jalan raya itu memberitahu, jumlah tersebut terlalu sedikit berbanding sport rim dan topi keledar kayangan yang sering menjadi kegilaan ketika ini.

“Saya hairan melihat orang muda lingkungan 20-an luar negara berebut pergi haji dan kenapa mereka tak enjoy (berseronok) dahulu. Rupanya mereka ini mahu menyelesaikan haji pada usia muda dan baki umur itu digunakan untuk melakukan kerja lain.

“Berbanding di Malaysia anak muda lebih suka enjoy dahulu dan haji hanya difikirkan apabila sudah tua. Tak boleh juga nak salahkan mereka kerana kita menganggap haji untuk orang tua dan persediaan untuk mati,” katanya.

Wazi, 52, yang mendakwa pernah menunggang motosikal lumba pada kelajuan 300kmj berkata, dia bernasib baik apabila hanya terlibat dengan perlumbaan tak diiktiraf selama setahun menggunakan Yamaha RX-Z sebelum bergelar pelumba profesional pada usia 19 tahun.

Tambahnya, kesedaran itu timbul apabila dia memikirkan perlu ada haluan dan saluran betul untuk berjaya dalam bidang diminati sebelum mendapat penaja yang membawanya ke litar lumba sebenar.

“Anak muda kita ini mahu berubah tetapi tiada pihak mahu menyedarkan mereka dan menyediakan saluran yang betul. Tabung Haji (TH) boleh meremajakan imejnya dengan melibatkan remaja dalam pelbagai program kerana banyak peluang dan ruang untuk itu,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here