Pajero masuk tali air terkejut nampak penguatkuasa

214

Terkejut melihat sekumpulan pegawai penguat kuasa memasuki stesen minyak di sini, kelmarin, pemandu sebuah pacuan empat roda terus memecut kenderaannya bagi melarikan diri.

Lelaki dipercayai penyeludup itu memecut Mitsubishi Pajero itu kira-kira 10km bermula dari Palekbang sehingga ke Kampung Pak Keral di sini, sebelum kenderaan itu terbabas dan tergelincir ke dalam tali air.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, Azman Ismail berkata, pada kejadian 9.30 pagi itu, lelaki tersebut dikesan mengisi diesel di stesen minyak di Palekbang di sini.



“Terdahulu, pihak kami menerima maklumat risikan mengenai kehadiran kenderaan itu yang dipercayai terbabit aktiviti penyelewengan diesel.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak kami, pemandu kenderaan itu terus memecut laju dan pasukan kami mengekori kenderaan itu sehingga ke jalan tali air di Kampung Pak Keral.

“Semasa kenderaan itu cuba melalui satu selekoh, tiba-tiba ia terbabas dan tergelincir ke dalam tali air, manakala pemandunya keluar serta melarikan diri ke arah semak berhampiran,” katanya.

Azman berkata, hasil pemeriksaan lanjut menjumpai tangki tambahan di bahagian bawah kenderaan itu dan pihaknya merampas 50 liter diesel, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM10,107.

Dalam rampasan kedua pada hari sama, sebanyak 100 liter petrol dianggarkan bernilai RM205 ditemukan dalam tangki tambahan sebuah Perodua Kenari di Kampung Jejulok, Tumpat.

Azman berkata, kenderaan itu ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan dipercayai selepas pemandunya menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kita percaya diesel dan petrol itu akan dibawa ke mana-mana pangkalan haram di Pengkalan Kubor untuk diseludup ke Thailand, dan kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here