Pemegang AP nafi kaut keuntungan RM100,000 model EV terutama Tesla

477

Dakwaan segelintir pihak bahawa Pemegang Permit Import (AP) mendapat keuntungan sehingga RM100,000 bagi setiap kereta elektrik (EV) terutama Tesla adalah tidak berasas.

Ketua Dewan Muda PEKEMA, Raja Petra Maruddin Raja Nordin berkata, tidak sepatutnya mengambilkira harga bayaran membeli kereta EV di negara asal termasuk kepelbagaian faktor seperti pengangkutan, waranti, dan kos operasi.

Raja Petra Maruddin

Beliau berkata, margin keuntungan yang diambil pengimport daripada harga kilang ketika menjual semula kereta tersebut adalah normal.



“Bagaimanapun, harus sedar pemegang AP ada risiko tertentu misalnya pasaran, kos infrastruktur dan tanggungjawab menyediakan jaminan dan servis selepas jualan (inisiatif sendiri) yang mana ketika itu kebanyakan infrastruktur belum tersedia di Malaysia.

“Semua ini merupakan faktor-faktor yang perlu diambilkira dalam menentukan keuntungan sebenar,” katanya.

Tambahnya, pemegang AP bukan pengilang langsung seperti Tesla yang dapat menjual dan menentukan harga kereta tanpa melalui pengedar atau pihak ketiga.

“Tesla satu-satunya pengeluar pada masa ini yang menjual produk terus kepada pelanggan. Semua pengeluar kereta jenama lain menggunakan pengedar walaupun sesetengah pengeluar menyediakan konfigurasi dan pembiayaan dalam talian,” jelasnya.

Faktor-faktor sedemikian yang menyumbang kepada tambahan kos yang perlu ditanggung bagi memastikan EV yang import selamat dan mematuhi standard tempatan.

“Sebenarnya, kita (pemegang AP) adalah perintis dan pemangkin kepada penjualan kereta EV di Malaysia kerana tanpa sokongan kami, mungkin beberapa jenama EV tidak akan masuk pasaran Malaysia.

“Oleh itu, tuduhan kami mengambil keuntungan besar tanpa sebarang data atau rujukan adalah tidak adil dan cubaan untuk merosakkan reputasi dan peranan kami dalam industri ini,” tegasnya.

Raja Petra menyatakan pemegang AP sentiasa terdedah kepada risiko semasa beroperasi, terutamanya ketika membawa masuk kereta EV.

Beberapa faktor kekangan, seperti kekurangan cip dan bateri, turut mempengaruhi harga sesebuah EV yang tidak dapat dielakkan.

“Diharap dakwaan berkenaan dapat dilihat dengan lebih rasional dan tidak hanya berfokus pada angka semata-mata.

“Kami memainkan peranan penting dalam memperkenalkan EV kepada masyarakat Malaysia, dan seharusnya usaha kami dihargai dalam memajukan industri ini,” ujarnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here