YangWang U8 rasmi lancar di China, boleh terapung atas air selama 30 minit

511

YangWang U8 rasmi lancar di China pada harga CNY 1,089,000 (RM699,243) sekaligus menjadikannya kereta elektrik (EV) paling mahal di negara tersebut.

Jenama di bawah BYD itu ditawarkan menerusi dua pilihan varian iaitu Premium Edition dan Off-road Master Edition.



Bagaimanapun versi Off road Master Edition akan ditawarkan kemudian manakala penghantaran versi Premium Edition akan bermula Oktober depan. 

YangWang U8 merupakan SUV bersaiz besar menerusi panjang 5,319mm, lebar (2,050mm) dan tinggi (1,930mm) serta jarak roda 3,050mm.

Ia lebih panjang 502mm dan rendah 39mm serta jarak roda lebih panjang 160mm berbanding Mercedes-Benz G-Class.

YangWang U8 disokong oleh platform e4 dan sistem kawalan badan hidraulik Disus-P yang boleh melaras tinggi dan rendah kenderaan sehingga 150mm.

SUV 5-kerusi itu dijana empat motor elektrik yang menghasilkan kuasa 1,197hp dan tork 1,680Nm dengan pacuan semua roda (AWD). Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 3.6 saat dengan kelajuan maksimum 200kmj.

Dilengkapi dengan sokongan pengecas pantas DC sehingga 110kW, ia hanya mengambil masa 18 minit bagi mencapai isian bateri 30 hingga 80 peratus. 

Masuk ke kabin, SUV itu didatangkan dengan kemasan kulit Nappa dan enam skrin besar termasuklah panel instrumen 23.6 inci buat pemandu dan skrin tengah bersaiz 12.8-inci.

Ciri peralatan lain yang dibekalkan pada U8 adalah 38 sensor termasuklah tiga lidar, 13 kamera, 12 radar ultrasonik, radar gelombang 5mm, kamera termografi dan telefon satelit serta tayar ganti. Sistem ADAS U8 pula adalah peringkat dua. 

SUV AMFIBIA 

Seperti mana kereta off road yang lain, varian Premium Edition boleh mengharung kedalaman air maksimum 1,000mm, manakala Off-road Master Edition pula 1,400mm berkat snorkel.

Apabila mod ‘harung’ diaktifkan, kenderaan akan menggunakan sensor bagi memantau sekeliling, kedalaman air, status gelincir roda dan lain-lain. 

Mod terapung kecemasan diaktifkan secara automatik apabila kereta mengharungi kedalaman air melebihi had. 

Kemudian, enjin akan dimatikan serta-merta lalu Disus-P akan menaikkan suspensi ke tahap maksimum dan tingkap ditutup secara automatik.

Manakala pendingin hawa akan ditukar pada aliran dalaman serta bumbung suria akan terbuka sebagai pintu keluar kecemasan. Selain itu, kenderaan akan memaparkan kedalaman air pada skrin kawalan.

SUV itu boleh terapung selama 30 minit dengan kelajuan 3kmj. Bagaimanapun, BYD menekankan ciri tersebut untuk kecemasan seperti banjir dan bukan menyeberangi tasik dan sungai. BYD mendakwa U8 adalah kalis air tahap IP68.

U8 turut didatangkan dengan ciri pusingan tangki 360 darjah di samping tersedia mod ketam, mod air terapung  serta mod pemanduan khusus off-road.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here