Wanita maut, kereta terputus dua bertembung Toyota Hilux

805

Seorang wanita maut selepas Proton Saga yang dipandunya bertembung dengan Toyota Hilux di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil, Baling, semalam.

Kemalangan pada kira-kira jam 5 petang itu mengakibatkan Farah Nabihan Mohamad, 37 yang bekerja sebagai penyelia dewan makan di sebuah sekolah maut di tempat kejadian.



Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, Toyota Hilux itu bergerak dari arah Kuala Ketil menghala ke Parit Panjang, manakala kereta mangsa dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan Toyota Hilux dalam kedudukan melintang.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian depan Proton Saga menyebabkan kereta itu terputus dua,” katanya. 

Impak pertembungan menyebabkan mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan dan mengalami kecederaan parah.

Sementara, pemandu Hilux yang berusia 57 tahun dan penumpangnya berumur 54 tahun mengalami luka-luka di bahagian dahi dan muka.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here