Jutawan Dubai, nombor plat lagi mahal berbanding koleksi kereta mewah

1533

Ahli perniagaan Dubai ini dikenali bukanlah kerana harta kekayaan melainkan memiliki nombor plat termahal di dunia.

Jutawan yang dimaksudkan ialah Balvinder Sahni ataupun dikenali sebagai Abu Sabah. Pada 2016 beliau membeli nombor plat VIP, D5 bernilai AED 33 juta dirham (RM39 juta) di acara lelongan kerajaan.



Tahukah anda, pemaju hartanah asal India yang berpangkalan di Dubai itu turut mengakui nilai keseluruhan nombor plat yang dimiliki lebih mahal berbanding koleksi keretanya. 

“Saya ada berpuluh-puluh nombor plat VIP, tetapi saya tidak mahu dedahkan. Saya ada kedua-dua nombor Dubai 5 dan Abu Dhabi 5. Ini adalah nombor plat paling mahal yang saya miliki.

“Semua nombor plat saya lebih daripada AED 100 juta (RM127juta), dan jumlah kos nombor plat VIP lebih tinggi daripada nilai kereta saya,” kongsinya kepada Khaleej Times.

Beliau juga berkongsi titik permulaan pembelian nombor plat VIP, hanya kerana tidak dibenarkan mengunjungi sebuah hotel ultra-mewah. 

“Apabila saya datang ke Dubai, saya ada banyak Rolls Royce tetapi kemudian saya menyedari bahawa setiap rumah mempunyai Rolls Royce.

“Jika saya ada dua, mereka miliki tiga. Kisah nombor (plat) bermula pada tahun 2006 apabila saya pergi ke hotel ultra-mewah.

“Saya tidak dibenarkan masuk kerana tiada tempahan. Walaupun ketika itu saya hanya melawat hotel berkenaan.

“Mereka kata, anda tidak boleh masuk tanpa tempahan melainkan anda nombor plat dua digit. Jadi saya pergi ke acara lelongan dan membeli tiga nombor plat dengan harga AEF 2.8 juta (RM3.6 juta) setiap satu,” katanya sambil tersenyum.

LETAK HYPERCAR DALAM RUMAH

Menerusi video yang dikongsi Youtube Mo Vlogs, bahagian depan rumah agam Abu Sabah dipenuhi barisan koleksi Rolls Royce yang menggunakan nombor plat satu dan dua digit. 

Ketika disoal mengapa memilih nombor lima, jawapan beliau mudah, ‘ia nombor kegemaran saya.”

Selain itu, Pengerusi Kumpulan Syarikat RSG itu turut menyimpan sebuah Bugatti di ruang tamu.

Sebaik membuka pintu utama, anda akan menemui sebuah hypercar hitam edisi terhad yang dikeluarkan 20 unit di dunia.

Dalam video itu, Abu Sabah berkata tidak pernah memandu Bugatti Chiron Noire yang menggunakan nombor plat 5 itu. Mengapa beliau meletakkan hypercar itu di dalam rumah?.

“Apabila membina rumah agam ini saya tidak sukakan warna hitam, saya suka warna emas dan kuning air. Kepercayaan India perlu meletakkan sesuatu berwarna hitam di dalam rumah bagi menghindari aura jahat.

“Saya perlu letak sesuatu yang istimewa, saya jumpa kereta ini dan paling rare,” jelasnya.

Sayangnya, Abu Sabah tidak mahu mendedahkan rahsia bagaimana dia memasukkan hypercar bernilai USD3.3 juta (RM15.5 juta) tersebut. 

Bugatti Chiron Noire didatangkan dengan dua kemasan iaitu Noire Élégance yang menggunakan badan gentian karbon manakala Noire Sportive kemasan hitam kusam.

Seperti mana luaran, kabin juga didatangkan dengan kemasan serba hitam. Hypercar itu menggunakan enjin 8.0 liter W16 quad turbo dengan kuasa 1,479hp dan tork 1,600Nm.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here